KUCHING: Kempen Liga Sri Aman Piala Datuk Francis Harden Hollis 2025 bersambung semula pada hujung minggu ini.
Enam perlawanan bakal disajikan kepada peminat tempatan yang hadir di Kompleks Sukan Sri Aman selama dua hari iaitu Sabtu dan Ahad.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA), Alfred Kendim memberitahu, tiga perlawanan akan berlangsung esok (Sabtu) yang menyaksikan BBE X Insuramu FC menentang Aqib X Kampung Boy FC pada pukul 8:00 pagi.
Ia disusuli dengan perlawanan antara LA United menentang Fuhai FT pada pukul 9:45 pagi dan Kaban Empired menentang SAPD pada pukul 3:30 petang.
Manakala, tiga lagi perlawanan akan berlangsung pada hari Ahad (17 Ogos).
Ia melibatkan pertembungan antara Datus United menentang Merpati FC pada pukul 8:00 pagi dan Fuhai FT menentang BBE X Insuramu FC pada pukul 9:45 pagi.
Pada masa yang sama, pertembungan antara Aqib X Kampung Boy FC dan LA United akan berlangsung pada pukul 3:30 petang.
“Kita menjangkakan pertembungan sengit akan berlaku dalam tempoh dua hari itu.
“Perlawanan hujung minggu ini mungkin menjadi penentu bagi beberapa pasukan untuk memburu tiket ke pusingan separuh akhir,” ujar Alfred kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Alfred, majlis perasmian Liga Sri Aman Piala Datuk Francis Harden Hollis 2025 akan berlangsung pada pukul 3:15 petang esok.


