KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengingatkan pemainnya supaya lebih berhati-hati apabila berdepan Kelantan United di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam esok (Jumaat).
Menurut Aidil, langkah lebih berwaspada itu menjadi penanda aras penting kem kendaliannya bagi mengelakkan sebarang musibah yang boleh menjejaskan hasrat pasukan untuk meraih mata.
“Fokus kita memang mahu memastikan kemenangan, namun kita perlu berhati-hati ketika mengharungi perlawanan malam esok.
“Aksi pusingan kedua pasti berbeza kerana sebelum ini kebanyakan pasukan belum berada pada tahap persediaan sepenuhnya,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Tambahnya, kelebihan pasukan tuan rumah yang bakal mendapat sokongan padu penyokong setia juga perlu diambil kira.
Namun begitu, beliau berharap barisan pemainnya dapat mengekalkan momentum cemerlang seperti yang ditampilkan dalam perlawanan sebelum ini.
Kuching City FC menamatkan saingan pusingan pertama kempen Liga Super 2025/2026 di tangga kedua dengan 25 mata, manakala Kelantan United berada di tangga ke-10 dengan 11 mata.



