KUCHING: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengakui tidak tersedia jalan mudah buat pemainnya untuk meraih sebarang mata tatkala turun berdepan Brunei DPMM pada perlawanan di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, malam esok (Sabtu).
Mengambil kira kelebihan kelab jiran berkenaan yang beraksi di laman sendiri serta bakal mendapat sokongan padu penyokong setia mereka.
“Memang tugas mencabar menanti pemain sepanjang perlawanan malam esok. Justeru, saya mengingatkan kepada pemain agar lebih berwaspada,” ujar Aidil kepada Arena Suara Sarawak.
Paling penting katanya pemain perlu fokus serta berusaha mengekal momentum terbaik mereka.
Dengan kata lain, Aidil menuntut pemain dapat memperagakan aksi terbaik seperti perlawanan dilalui sebelum ini.
Beliau turut mengingatkan pemainnya agar mengetepikan seketika aura di sebalik kejayaan layak ke pentas final Piala Malaysia 2025/2026 tempoh hari.
Dalam perkembangan yang sama, Aidil akan menurunkan kesebelasan terbaiknya pada malam esok.
“Semua pemain bebas daripada kecederaan mahupun penggantungan, cuma Joao Pedro Da Silva Freitas yang terpaksa diketepikan kerana belum cergas sepenuhnya,” menurut Aidil.
Skuad Kuching City kini menghuni tangga kedua dengan 43 mata selepas mengharungi 20 perlawanan.
Berbanding, Brunei DPMM di tangga kelapan dengan 22 mata.


