SEBUYAU: Pemancing dari Kampung Tambey dikenali sebagai Lihi, membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 selepas berjaya menaikkan ikan sembilang seberat 640 gram pada Pertandingan Memancing Joran Bidek Edisi Keempat Piala Ahli Parlimen Batang Lupar, di sini, semalam.
Kejayaan itu ibarat rezeki terpijak buat Lihi apabila hasil tangkapannya berjaya mengatasi kira-kira 400 peserta lain yang menyertai pertandingan berkenaan.
Sementara itu, Wan Kamel dari Sri Aman muncul naib johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Tempat ketiga pula menjadi milik pemancing tempatan, Zulzaini dari Sebuyau, yang menerima hadiah wang tunai RM1,000.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Pertandingan berkenaan dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Giat Mara Sebuyau sebagai antara usaha menggalakkan aktiviti rekreasi dan memancing dalam kalangan masyarakat setempat.
Penganjuran edisi keempat itu turut membuktikan sambutan pertandingan memancing di kawasan Sebuyau terus mendapat perhatian, bukan sahaja daripada pemancing tempatan malah peserta dari luar kawasan.


