Lima balai bomba siap 2021

KUCHING: Lima balai bomba iaitu di Bintangor, Sibujaya, Belaga, Lutong dan Asajaya dijangka siap pada awal tahun hadapan, jelas Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Khirudin Drahman.

Beliau berkata, balai bomba itu sepatutnya siap akhir tahun ini, tetapi tertangguh enam bulan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Jabatan kita memerlukan sekitar 50 balai bomba di negeri ini untuk perlindungan kebakaran yang lebih ideal.

“Kini kita mempunyai 34 balai bomba termasuk terbaharu di Selangau.

Balai lain yang sedang dirancang seperti Balai Bomba dan Penyelamat Gred E di Sungai Asap, Sebuyau, Batu 7 dan Batu Kawa.

“Dengan adanya kerjasama Kerajaan Sarawak, sasaran mempunyai 50 balai bomba di negeri ini dapat dicapai secara konsisten menjelang 2025,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Bomba 2019 di sini, semalam.

Khirudin berkata, untuk memastikan perkhidmatan bomba berada dalam keadaan baik, pasukan peronda juga akan ditempatkan di kawasan berisiko semasa musim banjir dan lain-lain.

Jelasnya lagi, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) termasuk Bomba Komuniti untuk kawasan di luar bandar turut ditubuhkan.

“PBS Sungai Buloh misalnya, telah menunjukkan prestasi yang baik. “Perkara yang sama juga berlaku di kawasan Baram.

Komuniti Bomba di sini dilatih untuk memadam kebakaran,” tambahnya lagi.

Suara Sarawak