ARTIKEL

TAHAN….Polis tahan lima buruh ladang sawit tempatan kerana terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah, semalam.

Lima buruh ladang sawit ditahan positif dadah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SELANGAU: Seramai lima buruh ladang sawit tempatan ditahan dalam satu serbuan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di tepi jalan kawasan Bukit Kerangan, Sungai Kua, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, kesemua suspek berumur antara 32 hingga 46 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Semasa serbuan, kesemua suspek berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diparkir dan apabila menyedari kehadiran polis, salah seorang suspek mencampakkan dua keratan tiub straw lut sinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine, atau syabu yang disimpan dalam satu kotak rokok.

“Anggaran berat kasar dadah dirampas ialah 0.86 gram,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Rizal, ujian urin terhadap kesemua suspek mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 16 Mei ini bagi melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu, Rizal menegaskan bahawa IPD Mukah amat komited dalam usaha membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah boleh disalurkan dengan menghubungi talian hotline 084-871222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU