KUCHING: Lima cabaran utama yang dikenal pasti Kerajaan Sarawak perlu dijadikan asas bagi memperkukuh keupayaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menghadapi perubahan serta memenuhi keperluan pembangunan menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cabaran itu meliputi kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital, perubahan iklim serta pembangunan bandar mampan, daya saing ekonomi, pembandaran dan perubahan demografi serta kepercayaan rakyat.
Menurutnya, AI dan transformasi digital mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, namun perlu disokong data berkualiti, tadbir urus yang baik serta tenaga kerja berkemahiran.
“Perubahan iklim, pengurusan sisa, banjir dan daya tahan bandar pula memerlukan perancangan lebih kukuh serta tindakan proaktif,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian pada Majlis Perasmian Persidangan PBT Sarawak 2026, di sini, hari ini.
Beliau berkata, PBT perlu menjadi rakan strategik dalam menarik pelaburan dan menyokong usahawan, selain merancang pembangunan bandar yang memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat.
Kepercayaan rakyat hanya dapat dikekalkan melalui prestasi yang konsisten, ketelusan, kebertanggungjawaban dan profesionalisme.
Abang Johari berkata, semua cabaran itu perlu dilihat sebagai peluang untuk melaksanakan pembaharuan dan transformasi dalam pentadbiran PBT.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut menetapkan lima tonggak transformasi PBT iaitu menjadi institusi yang dipercayai, organisasi pintar berasaskan data, organisasi berorientasikan hasil, peneraju pembangunan mampan serta pemacu pertumbuhan ekonomi tempatan.
“Melalui lima tonggak ini, PBT bukan lagi sekadar badan pentadbiran, tetapi institusi pembangunan moden yang mampu memenuhi keperluan rakyat dan menyokong agenda pembangunan Sarawak,” katanya.
Beliau turut menyeru semua PBT agar terus memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan serta membina bandar yang lebih berdaya tahan dan inklusif.


