ARTIKEL

Petugas-petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang.

Lima jenazah mangsa nahas helikopter FDS diserahkan kepada keluarga hari ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jenazah lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang akan diserahkan kepada keluarga masing-masing hari ini selepas identiti kesemua mangsa disahkan menerusi analisis DNA.

Urusan penyerahan jenazah dilaksanakan di Jabatan Forensik Hospital Miri hari ini, selepas proses forensik selesai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pengesahan identiti dilakukan menerusi analisis DNA oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia.

“Susulan pengesahan rasmi identiti melalui analisis DNA oleh pihak PDRM dan Jabatan Kimia Malaysia, urusan penyerahan jenazah wira dan wirawati negara ini kepada pihak keluarga dilaksanakan di Jabatan Forensik Hospital Miri pada 13 September 2026,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi tumpuan kepada penyempurnaan penghormatan terakhir buat kesemua lima mangsa yang terkorban ketika menjalankan tugas.

Jenazah Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamarudin, Pegawai Perubatan, akan diterbangkan dari Miri ke Kota Bharu, Kelantan dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Jenazah beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Kampung Baung, Pengkalan Chepa.

Jenazah mendiang Debra Moset, jururawat, pula diterbangkan dari Miri ke Kuching untuk disemadikan di Kampung Semadang, Padawan pada 14 September.

Sementara itu, jenazah mendiang Alexson Adit Henry, Penolong Pegawai Perubatan, akan dipindahkan dari Hospital Miri ke rumah mendiang hari ini.

Urusan pengebumian mendiang Alexson akan dilaksanakan pada 15 September di Anglican Cemetery Lambir, Miri.
Jenazah mendiang Jessie Paya Jok, jururawat, turut dipindahkan dari Hospital Miri ke rumah mendiang hari ini sebelum dikebumikan pada 14 September di BEM Cemetery Lambir, Miri.

Jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, juruterbang, pula akan diterbangkan dari Miri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) dengan penerbangan Malaysia Airlines.

Beliau seterusnya akan dikebumikan di Taman Perkuburan Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Dzulkefly merakamkan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan kemudahan logistik TUDM bagi melancarkan urusan penghantaran pulang jenazah ke Semenanjung Malaysia.

Beliau turut menghargai kerjasama PDRM, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), pengurusan Hospital Miri serta semua agensi yang terbabit dalam operasi berkenaan.

“Penghargaan tulus ikhlas turut dipanjangkan kepada seluruh agensi yang telah bertungkus-lumus tanpa penat lelah dari fasa mencari dan menyelamat (SAR) sehinggalah ke fasa pengurusan jenazah,” katanya.

KKM dalam pada itu terus memperkukuh kerjasama strategik bersama JBPM bagi menyokong kelancaran operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC).

Langkah itu susulan penangguhan sementara perkhidmatan FDS bagi membolehkan siasatan, semakan dan penilaian menyeluruh dilaksanakan.

Dzulkefly berkata KKM turut menghargai sokongan serta doa rakyat Malaysia kepada keluarga mangsa dan warga KKM sepanjang tempoh sukar itu.

“Keprihatinan, kiriman doa yang tidak putus-putus, serta kasih sayang yang dizahirkan oleh rakyat kepada petugas kesihatan kita memberikan suntikan kekuatan yang amat bermakna buat ahli keluarga dan rakan-rakan seperjuangan di KKM dalam mendepani saat yang amat mencabar ini,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU