SARIKEI: Lima lelaki cedera apabila kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Bukit Sebangkoi, Lebuh Raya Pan Borneo, hari ini.
Ketua Balai dan Penyelamat Sarikei, Arrahman Chik berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Alza dan sebuah lori.
Sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.09 pagi.
“Kesemua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Saratok menghala ke Sarikei sebelum kenderaan yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan lori berkenaan.
“Empat mangsa dari kereta Perodua Alza berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi,” katanya ketika dihubungi.

PKO bertindak mengeluarkan seorang lagi mangsa yang masih berada di dalam kereta Perodua Alza menggunakan pengusung.
“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sarikei menggunakan dua ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai tindakan lanjut.
“Sementara itu, pemandu lori selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi menyelamat selesai sepenuhnya pada 8.55 pagi,” katanya.


