GEORGE TOWN: Lima premis perniagaan di Jeti Chew di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Pegawai Operasi Zon 1, Daerah Timur Laut, Penolong Penguasa Bomba Rusli Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.08 pagi sebelum pasukan bomba tiba kira-kira dua minit kemudian.
Beliau berkata kebakaran membabitkan bengkel kereta, kedai kimpalan, kedai barang lusuh, kilang kayu dan sebuah lagi kedai, manakala operasi pemadaman melibatkan kira-kira 30 anggota JBPM serta 17 anggota bomba sukarela, APM dan polis.
Rusli berkata tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan stesen minyak berhampiran dan mengelakkan api daripada merebak ke kawasan perumahan, manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat.
Sementara itu, Toh Aik Aun, 50, berkata premis percetakan kemeja-T yang diusahakannya sejak kira-kira 30 tahun lalu musnah, manakala Hong Jing Lian, 60, menganggarkan kedai mengecat kereta miliknya yang beroperasi sejak 1997 mengalami kerugian kira-kira RM1 juta seperti dilapor Bernama.

