KUCHING: Literasi bahasa Inggeris bukan sekadar penguasaan bahasa, sebaliknya menjadi asas kepada inovasi, komunikasi, dan kemajuan.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu, berkata melalui platform ini, pendidik dan pelajar diperkasa untuk menjadi penyumbang kepada transformasi negeri ke arah masyarakat berasaskan ilmu serta berhubung di peringkat global.
“Melalui penguasaan bahasa Inggeris, kita membuka ruang kepada anak-anak Sarawak untuk bersaing di pentas dunia.
“Berikan seorang anak bahasa Inggeris, anda berikan mereka dunia,” katanya semasa berucap pada majlis penutupan SELC 2025 di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Beliau yang juga Penaung Persidangan Literasi Bahasa Inggeris Sarawak (SELC) 2025 menambah bahawa literasi bahasa Inggeris menjadi kunci kepada pengetahuan, inovasi, dan peluang, sekaligus memperkukuh agenda pembangunan negeri menuju ekonomi berasaskan pengetahuan menjelang 2030.
Persidangan itu menghimpunkan 712 peserta termasuk pendidik, pembuat dasar, penyelidik, dan pemimpin industri bagi membincangkan strategi memperkukuh literasi serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).
SELC 2025 juga berperanan sebagai platform strategik perkongsian idea dan penyelesaian dalam membentuk landskap pendidikan masa depan Sarawak, selain memperkukuh keupayaan tenaga pengajar melalui siri ucap utama, perbincangan panel, dan bengkel interaktif.
Antara pengisian utama ialah sesi ucap utama oleh Yvonne Dalorto, Jurulatih Antarabangsa daripada Jolly Learning Ltd, yang menegaskan bahawa literasi bukan sekadar pengenalan huruf dan bunyi, tetapi pintu kepada keyakinan, kreativiti, dan pembelajaran sepanjang hayat.
“Apabila kita mengajar seorang kanak-kanak membaca, kita bukan hanya mengajarnya tentang huruf dan bunyi — kita membuka pintu kepada keyakinan, kreativiti, serta peluang seumur hidup. Literasi memberi setiap kanak-kanak suara untuk membentuk masa depan mereka,” katanya.
Penganjuran SELC 2025 mendapat sokongan pelbagai agensi utama termasuk Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Business Events Sarawak, serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak.
Persidangan ini turut dikuatkan melalui kerjasama strategik bersama rakan pendidikan dan industri seperti Jolly Learning Ltd, Pelangi Publication Sdn. Bhd., Honor Technology Malaysia, dan Teach for Malaysia, yang bersama-sama memperluas impak terhadap pembangunan literasi di Sarawak.
Edisi seterusnya SELC kini dalam perancangan dan dijangka menawarkan lebih banyak ruang kerjasama antarabangsa serta inisiatif inovatif bagi memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam bidang literasi dan pendidikan STEM.
Maklumat lanjut mengenai program dan bengkel akan datang boleh diperoleh di laman web www.selconference.com atau melalui Facebook rasmi Sarawak English Literacy Conference – SELC.


