MUKAH: Isu literasi kesihatan dalam kalangan masyarakat tidak sepatutnya disalah tafsir sebagai masalah ketidakupayaan membaca, sebaliknya ia berkait rapat dengan tahap kefahaman terhadap istilah serta maklumat kesihatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, aspek tersebut perlu diberi perhatian serius khususnya di Sarawak bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pencegahan dan rawatan penyakit.
“Penggunaan istilah perubatan tertentu yang kurang difahami masyarakat sering menimbulkan kekeliruan sehingga menjejaskan kesedaran terhadap sesuatu penyakit.


“Sebagai contoh, istilah tuberkulosis atau TB mungkin tidak difahami sepenuhnya oleh sesetengah masyarakat walaupun penyakit itu sendiri berisiko tinggi untuk berjangkit.
“Kurangnya kefahaman ini boleh menyebabkan orang ramai tidak mengambil langkah pencegahan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Agenda Nasional Malaysia Sihat peringkat Bahagian Mukah di Tapak Kaul Pantai Kala Dana, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata penyakit seperti TB boleh merebak dengan mudah terutama dalam keadaan kediaman yang sempit serta mempunyai sistem pengudaraan yang tidak sempurna.
Jelasnya, risiko jangkitan juga meningkat sekiranya individu yang mempunyai simptom seperti batuk berpanjangan tidak mengambil langkah berjaga-jaga.
“Sekiranya terdapat ahli keluarga mengalami batuk berpanjangan atau disyaki menghidap TB, mereka tidak seharusnya tidur bersama ahli keluarga lain.
“Pesakit juga perlu mendapatkan rawatan, mengambil ubat secara teratur, memakai pelitup muka serta memastikan rehat dan pemakanan mencukupi bagi mengelakkan penularan,” katanya lagi.
Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah turut mengingatkan masyarakat supaya tidak memandang ringan simptom seperti batuk berpanjangan, batuk berdarah atau demam berterusan.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya tidak terlalu bergantung kepada rawatan sendiri semata-mata, sebaliknya segera mendapatkan nasihat daripada pegawai kesihatan.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Veronica Lugah berkata, tahap literasi kesihatan yang rendah dikenal pasti menerusi kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS).
“Dapatan tersebut menunjukkan keperluan untuk meningkatkan usaha pendidikan kesihatan dalam kalangan masyarakat menerusi kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bersama rakan strategik.
“Kita mengambil contoh penyakit kronik yang selalu dipandang ringan iaitu diabetes dan hipertensi.
“Kebanyakan pesakit menghentikan pengambilan ubat selepas berasa diri mereka kembali sihat,” tambahnya.


