KOTA SAMARAHAN: Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Bako (PPLTB) akan menjadi kompleks utama pendaratan ikan di Bahagian Kuching.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, kompleks PPLTB yang termoden daripada keseluruhan 48 di Malaysia itu
bakal menggantikan pelabuhan LKIM Bintawa yang akan tamat operasi sepenuhnya awal tahun hadapan.
“Setakat November tahun ini, kuantiti pendaratan ikan PPLTB sebanyak 1,124,453.6 kilogram (kg) bersamaan kira-kira 1,000 metrik tan.
” Namun jumlah tersebut sebenarnya masih jauh daripada sasaran awal kita pada mula pengoperasiannya 2017 lalu, iaitu kapasiti tahunan pendaratan ikan sebanyak 64,000 metrik tan,” katanya.
Jelas beliau, jumlah terbabit bagaimanapun masih mampu menampung keperluan pengguna di kawasan Kuching memandangkan wilayah LKIM lain di Sarawak mempunyai pelabuhan tersendiri.
“Kita mahu memastikan sistem perikanan yang sistematik dan lebih berkesan, maka sebab itu LKIM membina kompleks lengkap dengan pelbagai kemudahan.
“Cuma kini kami perlu mempertingkatkan kerjasama daripada pengusaha-pengusaha kapal, ikan untuk mereka menumpukan perhatian pada pelabuhan Tanjung Bako,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mesyuarat lembaga dan pengurusan tertinggi LKIM di PPLTB, hari ini.
Menurutnya, setakat ini terdapat sebanyak 60 buah kapal yang menangkap ikan di Tanjung Bako dengan jumlah keseluruhan di Kuching ialah sebanyak 202 buah.
“LKIM dalam usaha untuk mempertingkatkan kerjasama dengan pengusaha-pengusaha industri bagi menambah jumlah peralatan ikan di sini.
“Ia supaya kompleks ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya, memandangkan kerajaan telah belanja tinggi untuk menjadikannya fasiliti moden,” ujarnya.
Tambahnya, pendekatan kerjasama akan turut dilaksanakan dengan jeti-jeti swasta yang terdapat di sekitar kawasan perairan Samarahan.


