Loagan Langari lokasi pelancongan

LIMBANG: Sebanyak 56 peserta membabitkan 210 bot mengocak Tasik Loagan Langari bagi merebut mahkota kejuaraan bernilai RM26,600 dalam Kejohanan Bot Kawalan Jauh Seborneo Loagan Langari Batu Danau, semalam.

Kejohanan Seborneo tersebut berjaya diangkat ke peringkat antarabangsa selepas mendapat penyertaan luar negara termasuk dari Thailand dan Brunei, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula tahun depan.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kejohanan itu dicadang dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak tahun depan. “Kita merancang memasukkan kejohanan ini dalam kalendar pelancongan tahun depan agar dapat dipromosikan lebih meluas ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan Bot Kawalan Jauh Seborneo di Loagan Langari Batu Danau di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, selain kejohanan anjuran Saberkas Batu Danau dan KBKJ itu acara besar turut dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sarawak membabitkan Pesta Irau Aco, Pesta Babulang dan Tarik Tali Antarabangsa.

Menurutnya, Limbang mempunyai pelbagai program dan perayaan utama yang diadakan dengan meriah bagi menarik kemasukan pengunjung tempatan dan luar.

“Malah, Kerajaan Sarawak juga merancang membina pelbagai kemudahan di Loagan Langari yang merupakan lokasi utama penganjuran acara ini saban tahun,” jelasnya.

Sementara itu, Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang menjelaskan sejumlah RM600,000 dibelanjakan Kerajaan Sarawak bagi tujuan pembinaan prasarana termasuk tandas, jeti, kawasan parkir Loagan Langari sejak beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, kawasan itu diserahkan kepada Majlis Daerah Limbang (MDL) untuk diselenggarakan sebagai pusat rekreasi orang awam.

Paulus menegaskan, Loagan Langari merupakan satu lagi pusat tarikan pelancongan utama di Limbang perlu dipromosikan bukan sahaja sebagai lokasi kekal acara bot kawalan jauh malah sebagai taman rekreasi.

“Penganjuran acara itu di Loagan Langari bersesuaian dengan hasrat Kerajaan Sarawak menaik taraf kawasan Loagan Langari sebagai taman rekreasi,” katanya.

 

Suara Sarawak