ARTIKEL

Loceng kematian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SEKOLAH sepatutnya menjadi tempat paling selamat selepas rumah.

Di situlah anak-anak belajar membaca dunia, mengenal kawan, membina keyakinan dan menaruh harapan terhadap masa depan mereka.

Di situlah juga ibu bapa menaruh kepercayaan dan keyakinan bahawa anak mereka selamat.

Tetapi apabila seorang murid pulang di dalam keranda, soalan yang timbul tidak lagi sekadar siapa yang bersalah.

Soalan yang lebih besar ialah, apakah yang gagal dalam sistem persekolahan kita sehingga amaran tidak dikesan, konflik tidak direndam dan nyawa tidak sempat diselamatkan?

Malaysia dikejutkan beberapa kematian ganas di premis sekolah sejak 2024. Pada Mac 2024, seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu maut dan 13 pelajar ditahan.

Pada Oktober 2025, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mati ditikam di sebuah sekolah di Bandar Utama.

Pada September 2026, kematian seorang pelajar tingkatan dua di asrama sekolah di Kuala Pilah diklasifikasikan polis sebagai kes bunuh.

Beberapa hari lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun pula maut di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, dan tiga pelajar ditahan.

Kemudian, seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun ditemui mati dipercayai dicekik selepas bertengkar di sebuah rumah di Kuantan pada Selasa.

Di mana silapnya sehingga sekolah-sekolah membunuh itu jalan terakhir dan terbaik, jika cinta ditolak dan ada masalah dalam hubungan?

Kejadian sedemikian jarang kita dengar puluh tahun lalu.

Sebelum ini, kita hanya mendengar kejadian sedemikian di Amerika Syarikat atau di beberapa negara jiran.

Di Thailand, pada Mei 2025, seorang pelajar maut ditikam rakan sekelas di kantin sekolah di Ubon Ratchathani.

Di Filipina, pada 26 Mac 2025, pelajar perempuan berusia 14 tahun maut ditikam rakan sekelas di dalam bilik darjah.

Malaysia belum mempunyai data awam yang menyatukan status mangsa sebagai murid, lokasi kejadian, jenis senjata, motif, sejarah buli, faktor keluarga, kesihatan mental, tindakan sekolah dan hasil siasatan.

Tanpa data yang seragam, kita mudah terperangkap antara dua bahaya — meremehkan masalah atau membesarkannya berdasarkan kes tular.

Dan, apabila data tidak lengkap, kita juga sukar menilai sama ada langkah yang diumumkan selepas tragedi benar-benar mengurangkan risiko pada tahun berikutnya.

Namun, isyarat amaran di persekitaran sekolah tidak boleh dipandang ringan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan 5,681 kes buli dilaporkan dari Januari hingga Ogos 2026.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 pula merekodkan pengalaman buli dan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja pada skala yang wajib diberi perhatian.

Buli tidak semestinya membawa kepada pembunuhan, dan adalah tidak berasas untuk mengatakan demikian.

Tetapi budaya penghinaan, pengasingan, ancaman, pergaduhan dan ketakutan boleh menjadi sebahagian daripada ekosistem risiko apabila bertemu dengan krisis emosi, dendam, akses kepada senjata dan kegagalan orang dewasa bertindak.

Pengalaman antarabangsa juga mengajar kita supaya berhati-hati dengan jawapan mudah.

Tidak ada satu profil tunggal “pembunuh sekolah”.

Masalah kesihatan mental tidak boleh dijadikan label yang menyamakan pesakit dengan keganasan.

Begitu juga memasang lebih banyak kamera atau menambah pagar tidak dengan sendirinya menyelesaikan konflik yang tumbuh dalam bilik darjah, kumpulan WhatsApp, asrama, rumah atau fikiran seorang remaja.

Kajian selepas ke tembakan di sekolah di Amerika Syarikat menunjukkan trauma tidak berakhir apabila pita polis ditanggalkan.

Penyeldik mendapati penggunaan antidepresan dalam kalangan belia di kawasan berhampiran sekolah yang mengalami penembakan maut meningkat kira-kira 21 peratus dalam dua tahun berikutnya.

Kajian lain mendapati kes tembakan di sekolah menjejaskan kehadiran, pencapaian akademik dan kemajuan pendidikan.

Maksudnya, mangsa bukan hanya mereka yang terkorban atau cedera.

Rakan sekelas, guru, adik-beradik, ibu bapa dan seluruh komuniti sekolah boleh membawa luka yang tidak kelhatan selama bertahun-tahun.

Jadi, apakah yang harus dilakukan?

Setiap sekolah perlu mempunyai pasukan penilaian ancaman tingkah laku yang benar-benar terlatih, bukan jawatankuasa di atas kertas.

Tugasnya bukan menghukum murid kerana kata-kata pelik atau emosi marah, tetapi membezakan ancaman sebenar daripada ancaman serius.

Pihak sekolah juga perlu mengenal pasti sasaran, menilai akses kepada senjata, memahami tekanan yang sedang dihadapi dan menyediakan pelan keselamatan serta intervensi.

Kajian rawak di Virginia menunjukkan pendekatan penilaian ancaman boleh meningkatkan rujukan kepada kaunseling dan mengurangkan kebergantungan pada penggantungan atau pembuangan sekolah.

Pencegahan buli mesti bergerak daripada slogan kepada pendekatan seluruh sekolah.

Program KiVa di Finland menunjukkan intervensi sistematik yang melibatkan murid, guru dan norma rakan sebaya boleh mengurangkan buli serta meningkatkan keselamatan.

Malaysia sudah mempunyai garis panduan KPM yang mewajibkan siasatan, pelibatan ibu bapa, kaunseling dan hubungan dengan polis.

Cabarannya ialah pelaksanaan.

Adakah setiap aduan dicatat, dinilai dalam tempoh tertentu, disusuli, diaudit dan boleh dinaikkan ke peringkat lebih tinggi jika sekolah gagal bertindak?

Akses kepada bantuan psikologi mesti dianggap komponen keselamatan, bukan kemewahan.

Kaunselor sekolah tidak seharusnya dibebani tugas pentadbiran sehingga intervensi menjadi lewat.

Murid yang menunjukkan perubahan mendadak, ancaman berulang, obsesi terhadap keganasan, pengasingan ekstrem atau idea mencederakan diri atau orang lain memerlukan penilaian profesional, dengan perlindungan terhadap stigma dan hak privasi.

Kerajaan perlu membina pangkalan data nasional kematian ganas dan ancaman serius di institusi pendidikan, disepadukan antara KPM dengan PDRM, KKM dan Jabatan Perangkaan.

Kita mesti tahu pola sebenar — di mana, bila, siapa yang terlibat, apakah tanda awal, tindakan yang diambil dan apa yang gagal.

Dasar keselamatan yang baik lahir daripada data, bukan panik.

Akhirnya, keselamatan di sekolah bukan tugas pengetua atau polis semata-mata.

Ibu bapa mesti mendengar tanpa memperlekehkan.

Guru mesti melapor tanpa takut imej sekolah tercalar.

Murid mesti tahu bahawa meminta bantuan bukan mengadu manja.

Platform digital mesti dipantau dengan literasi, bukan sekadar larangan.

Masyarakat pula perlu berhenti menjadikan tragedi sebagai tontonan dan identiti kanak-kanak sebagai bahan kandungan.

Setiap kali seorang murid terbunuh, kita kehilangan lebih daripada satu nyawa.

Kita kehilangan sebahagian daripada rasa percaya bahawa sekolah ialah ruang perlindungan.

Kepercayaan itu hanya boleh dibina semula apabila setiap amaran kecil diambil serius, setiap aduan mempunyai jalan keluar dan setiap sekolah mempunyai sistem yang mampu bertindak seimbang kemarahan murid yang berubah menjadi keganasan.

Kita tidak akan dapat menjanjikan risiko sifar.

Tetapi kita boleh menuntut satu perkara yang munasabah.

Jangan tunggu kematian seterusnya untuk melakukan perkara yang sudah kita tahu dapat dilakukan hari ini.

* Dato Dr Jeniri Amir pernah menjadi pengetua di dua sekolah sebelum menjadi pensyarah dan ketua pegawai eksekutif.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU