ARTIKEL

Julaihi (duduk tengah) bersama kenamaan lain bergambar dengan semua yang hadir pada Majlis Amanat Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi.

Loji air baharu dirancang di Tebedu, dan Sebuyau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kawasan Tebedu dikenal pasti mempunyai sumber air mentah yang mencukupi bagi membolehkan pembinaan loji rawatan air baharu yang akan menjadi sandaran kepada Loji Rawatan Air Slabi di Bahagian Serian.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, pembinaan loji rawatan air baharu di Tebedu itu penting sebagai langkah sandaran memandangkan Loji Rawatan Air Slabi ketika ini berupaya menghasilkan sehingga 110 juta liter air terawat dan bersih sehari.

Ia merupakan sebahagian daripada perancangan memperluaskan liputan bekalan air ke kawasan lain yang pesat membangun, bukan hanya tertumpu di Kuching, malah melibatkan Samarahan dan Serian.

“Bagaimanapun, sebahagian kawasan di Samarahan tidak mempunyai loji rawatan air sendiri yang mampu menampung bekalan air bersih dan terawat yang semakin meningkat.

“Justeru, bidang kuasa Loji Rawatan Air Batu Kitang telah diperluaskan bagi menampung keperluan kawasan tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di Hotel Imperial, di sini, hari ini.

Katanya lagi, Samarahan hanya mempunyai Loji Rawatan Air di Sebuyau dengan kapasiti sekitar 3.5 juta liter sehari yang berskala kecil dan tidak mencukupi untuk menampung permintaan semasa dan masa hadapan.

“Oleh itu, Sarawak Water dengan kerjasama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah diarahkan untuk menjalankan penilaian semula bagi mengenal pasti kaedah terbaik memenuhi permintaan bekalan air terawat dan bersih di Samarahan.

Julaihi (tengah) tiba di Majlis Amanat Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi.

“Saya turut meminta JBALB untuk menilai lokasi-lokasi berpotensi di Samarahan yang mempunyai sumber air mentah mencukupi bagi pembinaan loji rawatan air baharu sebagai sandaran kepada Loji Rawatan Air Batu Kitang.

“Alhamdulillah, kita telah mengenal pasti kawasan Sebuyau yang mempunyai bekalan air mentah dengan hasil yang mencukupi untuk dipertimbangkan pembinaan loji rawatan air baharu pada masa hadapan.

“Pembinaan loji rawatan air baharu di Sebuyau dengan kapasiti sekurang-kurangnya 20 juta liter sehari akan menjadi sandaran penting kepada Loji Rawatan Air Batu Kitang bagi menjamin kestabilan bekalan air di Kuching dan Samarahan,” ujarnya.

“Kita yakin mampu menyediakan semua bekalan air tambahan yang diperlukan kerana pada masa yang sama kerajaan turut membangunkan sistem bekalan air dengan menggunakan teknologi bersesuaian bagi menghasilkan air terawat dan bersih kepada rakyat Sarawak,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM810.6 juta bagi melaksanakan projek bekalan air di bawah Pembiayaan Alternatif dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Liputan keseluruhan bekalan air di Sarawak setakat ini adalah 85.6 peratus.

“Oleh itu, saya menyeru agar semua agensi bekalan air membuat perancangan dan pelan tindakan yang rapi agar projek- projek di bawah peruntukan ini dapat dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan peruntukan dibelanjakan sepenuhnya,” katanya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat