LAWAS: Cadangan pembinaan Loji Rawatan Air Trusan baharu berkapasiti 50 juta liter sehari (MLD) bakal menjadi pemangkin kepada peningkatan kapasiti bekalan air di kawasan tersebut.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek berkenaan merupakan penyelesaian jangka panjang bagi memperkukuh sistem bekalan air di Trusan dan kawasan sekitarnya.
“Aspek pengambilan air mentah bagi projek ini perlu diberi perhatian khusus bagi memastikan sumber yang dipilih mampu menjamin operasi loji secara berterusan, selain mengambil kira perubahan keadaan semula jadi sungai.
“Walaupun kajian awal dibuat, kita perlu melihat semula lokasi pengambilan air mentah supaya masalah sama tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Loji Rawatan Air Wilayah Trusan di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau memberitahu bahawa kerajaan turut melaksanakan langkah segera bagi menangani isu semasa berkaitan sistem pengambilan air mentah sedia ada.
Ujarnya, ini termasuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan serta langkah mitigasi sementara sebelum penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.
“Semua tindakan berkaitan perlu disegerakan bagi memastikan bekalan air kepada penduduk terus terjamin di samping memastikan pelaksanaan pembangunan infrastruktur bekalan air berjalan lancar dan berkesan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Awang Tengah turut menegaskan, pembinaan loji baharu itu merupakan antara inisiatif berterusan Kerajaan Sarawak dalam menaik taraf kemudahan asas, khususnya sistem bekalan air, bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Tambahnya lagi, apabila siap kelak, projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada penduduk Trusan dan kawasan sekitarnya menerusi peningkatan kapasiti pengeluaran air terawat serta penyediaan sistem bekalan air yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan.

