LUNDU: Dua tapak berpotensi dikenal pasti berhampiran CENTEXS Lundu bagi tujuan pemindahan dan naik taraf Balai Polis IPD Lundu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagaimanapun sehingga kini, tiada tapak yang disahkan secara rasmi.
Katanya, ia susulan proses pemilihan masih dalam peringkat kajian serta penilaian menyeluruh bagi memastikan kesesuaian lokasi dari segi keselamatan, aksesibiliti dan keperluan masyarakat setempat.
“Kerana tanah ini berada di bawah bidang kuasa negeri, semua kelulusan perlu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), termasuk mendapat pengesahan kerajaan negeri,” jelas beliau.
Nancy berkata demikian ketika ditemui selepas Lawatan Kerja Rasmi ke Ibu Pejabat Daerah Lundu dan sesi penyerahan sumbangan peralatan bagi Program Rangkaian Kasih di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Santubong berkenaan menambah, projek pemindahan dan naik taraf ini sebahagian daripada usaha pembangunan infrastruktur yang lebih luas dengan peruntukan signifikan bagi membina kemudahan polis yang moden.
“Ini melibatkan penggantian struktur kayu sedia ada dengan bangunan konkrit baharu bagi menampung keperluan penduduk setempat,” katanya.
Malah, Nancy berkata peruntukan sebanyak RM12 juta diluluskan untuk Balai Polis Sematan di bawah IPD Lundu menandakan pelaburan berterusan dalam penguatkuasaan undang-undang di kawasan ini.



