KUCHING: Mekanisme BUDI MADANI Diesel wajar disemak semula bagi membolehkan lori sisa berat jenis tong RORO menerima subsidi kerana ia menyokong rantaian pengurusan sisa dan kitar semula.
Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) Cawangan Sarawak, Eddie Oon mencadangkan supaya satu kategori subsidi diesel khusus diwujudkan bagi lori tong RORO.
“Perkara ini boleh dilaksanakan melalui mekanisme seperti pengesahan MyKad atau sistem kad armada, dengan menggunakan status lesen dan tujuan operasi sebagai kriteria kelayakan.


“Kami menyokong pendekatan subsidi diesel bersasar Kerajaan Persekutuan bagi membendung penyeludupan diesel dan memastikan sumber awam disalurkan dengan lebih berkesan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Bagaimanapun, mekanisme ini harus disemak semula agar lebih mencerminkan keperluan operasi sebenar, selain menyokong matlamat ekonomi kitaran dan kelestarian Sarawak,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Katanya, meskipun mekanisme subsidi diesel BUDI MADANI di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang baharu dilaksanakan berjaya meningkatkan ketepatan sasaran dan mengurangkan penyalahgunaan sumber, ia turut memberi cabaran kepada industri kitar semula plastik dan pengurusan sisa.
“Pengecualian lori tong RORO daripada senarai subsidi menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung kos diesel pada harga pasaran semasa, sekali gus meningkatkan tekanan operasi,” jelasnya.
Oon menegaskan, industri kitar semula bukan sekadar aktiviti komersial, sebaliknya merupakan perkhidmatan alam sekitar yang mempunyai kepentingan awam.
“Pengusaha kitar semula mengutip kertas, plastik, kayu, kaca dan bahan boleh dikitar semula lain setiap hari sebelum menghantarnya ke pusat pengasingan atau kemudahan pemprosesan semula.


“Usaha ini membantu mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, mengurangkan pencemaran alam sekitar serta mengurangkan penggunaan sumber semula jadi,” ujarnya.
Beliau menambah, lori tong RORO merupakan infrastruktur penting dalam rantaian nilai pengurusan sisa dan kitar semula kerana digunakan secara meluas oleh syarikat kitar semula sisa pepejal, sistem kutipan sisa perbandaran serta operasi pengendalian sisa di tapak pembinaan.
“Lori ini mengutip dan mengangkut sisa dari kawasan kediaman, komersial dan awam bagi memastikan kebersihan serta keteraturan persekitaran bandar terus terpelihara,” katanya.
Ujarnya, semua sisa perlu dihantar ke kemudahan berlesen atau pusat kitar semula selaras dengan peraturan Jabatan Alam Sekitar (JAS), keperluan pihak berkuasa tempatan Sarawak, rangka kerja Tanggungjawab Pengeluar Diperluas (EPR) serta garis panduan dasar ESG.
Beliau menambah, tidak seperti lori pengangkutan biasa, lori tong RORO lazimnya beroperasi dalam kitaran dua peringkat, iaitu menghantar tong kosong ke lokasi seperti kilang, tapak pembinaan atau kawasan komersial sebelum kembali mengutip tong yang penuh.
“Keadaan ini mewujudkan model operasi dua perjalanan yang menyebabkan penggunaan diesel secara relatifnya lebih tinggi.
“Mengambil contoh lori tong RORO lima tan, satu tangki penuh memerlukan kira-kira 80 liter diesel dengan kos sekitar RM317.60 berdasarkan harga semasa RM3.97 seliter.
“Jika pengisian dilakukan antara sekali hingga tiga kali seminggu, sebuah lori boleh menanggung kos diesel sekitar RM1,270 sebulan, manakala syarikat yang mengendalikan beberapa lori boleh berdepan peningkatan kos bahan api daripada RM5,000 kepada RM10,000 sebulan,” katanya.
Beliau menambah, kenaikan kos pengangkutan boleh memaksa pengusaha kitar semula menyemak harga kutipan atau mengurangkan liputan perkhidmatan, sekali gus menjejaskan penyertaan awam dalam aktiviti kitar semula.
“Penurunan insentif kitar semula boleh menyebabkan lebih banyak bahan boleh dikitar semula dibuang begitu sahaja, sekali gus menjejaskan objektif ekonomi kitaran dan pengurangan karbon negara.
“Dalam jangka panjang, kadar kitar semula yang lebih rendah akan menyebabkan lebih banyak sisa dihantar ke tapak pelupusan, sekali gus meningkatkan perbelanjaan kerajaan terhadap pengurusan sisa dan infrastruktur alam sekitar.
“Penjimatan daripada pengurangan subsidi diesel hari ini mungkin akhirnya diimbangi oleh kos yang lebih tinggi pada masa hadapan dalam pengendalian sisa dan mitigasi alam sekitar,” tambahnya.
Justeru, Oon mencadangkan semakan semula kerangka subsidi diesel serta memasukkan lori tong RORO dan kenderaan berkaitan kitar semula lain yang beroperasi secara sah dalam skim subsidi bagi menyokong pembangunan ekonomi kitaran negara.

