KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) telah mengadakan sesi taklimat menyeluruh bersama Persatuan Syarikat Pengangkutan Bas Sarawak (SBTCA), hari ini.
Sesi yang melibatkan penyertaan wakil pengendali bas henti-henti, bas ekspres dan bas pekerja itu bertujuan membentangkan cadangan perubahan dasar oleh LPKP Sarawak serta mendapatkan maklum balas daripada pihak industri yang terlibat.

Pengerusi LPKP, Michael Kong Feng Nian berkata, ini adalah langkah penting dalam usaha memperkukuh dan menjamin masa depan industri pengangkutan komersial di Sarawak.
“Antara cadangan utama adalah pelaksanaan wajib bas bandar ‘low-decked’ yang bertujuan meningkatkan aksesibiliti kepada penumpang bandar, khususnya golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
“Pada masa sama, ini menjadikan sistem pengangkutan awam kita lebih inklusif dan mesra pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, pihaknya juga akan menurunkan had usia maksimum bagi bas henti-henti daripada 33 kepada 30 tahun.
Jelasnya, langkah ini adalah bagi menggantikan kenderaan lama yang kurang dipercayai dalam perkhidmatan awam, sekali gus meningkatkan keselesaan, kebolehpercayaan dan keselamatan penumpang.
“Bagi bas ekspres, kami berhasrat untuk melarang sepenuhnya amalan membawa barangan dagangan, terutamanya di atas tempat duduk penumpang.
“Ini boleh menyebabkan risiko serius kepada penumpang, terutamanya jika berlaku brek mengejut atau kemalangan.
“Mulai sekarang, semua barangan dagangan mesti disimpan dalam ruang bagasi khas yang disediakan, demi keselamatan serta keselesaan semua penumpang,” jelasnya lagi.
Menyentuh mengenai libat urus tersebut, katanya, ia adalah satu langkah penting dalam misi besar mereka untuk memperkasakan dan menjamin masa depan industri kenderaan komersial di Sarawak.
Ujar Michael, pihaknya percaya bahawa kemajuan yang mampan hanya dapat dicapai melalui kerjasama, ketelusan dan keterangkuman.
“LPKP Sarawak akan terus berinteraksi dengan sektor-sektor lain dalam ekosistem pengangkutan komersial pada masa akan datang, sama ada melibatkan lori, teksi, perkhidmatan e-hailing atau kategori lain.
“Matlamat kami adalah untuk memastikan setiap pemegang taruh menyuarakan pendapat dalam membentuk masa depan industri ini,” jelasnya lagi.
Tambah Michael, pihaknya tetap komited untuk membina sistem pengangkutan yang berdaya saing, cekap dan berfokuskan rakyat agar dapat memenuhi keperluan semasa, sekali gus bersedia menghadapi tuntutan masa hadapan.


