KUCHING: Tindakan sebuah bas ekspres menghentikan perjalanan secara tiba-tiba dan menurunkan penumpang sebelum tiba di destinasi adalah disebabkan penutupan jalan ekoran banjir.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Michael Kong Feng Nian berkata, maklus balas itu diberikan oleh syarikat pengendali bas terbabit kepada pihaknya, susulan video yang tular, baru-baru ini.
Menjelas lanjut, beliau berkata kejadian itu berlaku pada 4 Februari lalu ketika banjir melanda kawasan Dalat sehingga menyebabkan beberapa jalan utama tidak boleh dilalui.
“Menurut pengendali bas, semua penumpang dimaklumkan di Terminal Bas Mukah bahawa perjalanan tidak dapat diteruskan akibat penutupan jalan disebabkan banjir,” katanya menerusi satu kenyataan.
Michael menambah, pengendali bas juga menawarkan bayaran balik sepenuhnya, namun sebilangan penumpang memilih untuk meneruskan perjalanan ke simpang Oya bagi mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga atau pihak berkuasa.
“Pemandu bas memenuhi permintaan itu atas dasar ihsan, namun terdapat segelintir penumpang yang tidak berpuas hati, menyebabkan video tersebut menjadi tular di media sosial,” katanya.
Menurut Michael, LPKP Sarawak secara tegas melarang pemandu daripada menurunkan penumpang di lokasi yang tidak ditetapkan kecuali dalam situasi yang tidak dapat dielakkan seperti bencana alam.
“Walaupun kes ini merupakan situasi di luar kawalan, pihak kami akan berunding dengan semua pengendali bas ekspres untuk memastikan maklumat perjalanan disampaikan dengan lebih jelas kepada penumpang dan segala alternatif disampaikan dengan lebih baik pada masa hadapan.
“LPKP Sarawak bergantung kepada laporan terus daripada orang awam bagi mengambil tindakan segera ke atas sebarang perlanggaran peraturan,” katanya.
Bagaimanapun dalam kes itu, beliau berkata LPKP Sarawak menghadapi cabaran ekoran banyak maklumat penting dipadam di media sosial dan tiada aduan rasmi yang dikemukakan kepada pihak LPKP.
Beliau turut menggesa semua pengguna pengangkutan awam untuk segera melaporkan sebarang isu berkaitan melalui talian rasmi 011-24252754 atau e-mel aduantrafik.sarawak@jpj.gov.my.

