ARTIKEL

Petugas memantau paras air dan pengoperasian baraj Sungai Sarawak. Foto: Mohd Alif Non

LSS pantau paras air baraj Sungai Sarawak secara berterusan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan paras air di bahagian hulu baraj Sungai Sarawak sentiasa berada pada tahap selamat dan terkawal.

Kontroler LSS, Leftenan Kolonel (Bersara) Ding Tiew Wong, berkata tindakan itu dilaksanakan susulan paras air di hulu baraj yang lebih tinggi berbanding paras air di hilir, sekali gus memerlukan operasi pengeluaran air dilaksanakan secara terkawal.

“Kesemua pintu baraj Sungai Sarawak kini sedang beroperasi dan dibuka sepenuhnya bagi tujuan pengeluaran air.

“Ini merangkumi empat pintu air serta dua pintu laluan kapal bagi memastikan aliran keluar air di bahagian hulu berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, setakat ini operasi pengeluaran air di hulu baraj berjalan seperti biasa dengan semua pintu baraj berada dalam keadaan baik.

Mengulas lanjut, beliau berkata pemantauan di kawasan tadahan Sungai Sarawak melibatkan Pekan Siniawan, Takungan Air Batu Kitang dan Pekan Batu Kawah setakat jam 12 tengah hari menunjukkan trend penurunan.

“Paras air di semua lokasi terbabit masih berada pada tahap normal,” ujarnya.

Beliau menambah, pemantauan berterusan jumlah taburan hujan di kawasan tadahan Sungai Sarawak turut dilaksanakan bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya paras air meningkat secara mendadak.

“Selagi paras air di hulu baraj lebih tinggi daripada paras air di hilir, operasi pengeluaran air akan diteruskan.

“Operasi pengeluaran air di baraj akan diteruskan sehingga ke paras terendah sekiranya keadaan memerlukan dan mengizinkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan setakat jam 1.13 tengah hari, paras air di baraj Sungai Sarawak direkodkan pada 7.85 meter.

Beliau menegaskan LSS akan terus memantau keadaan semasa bagi memastikan paras air sungai di hulu sentiasa berada pada tahap selamat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU