ARTIKEL

SEDIA... Barisan pelumba pasukan Nusantara.

LTDL 2026: Lima pasukan benua tidak mahu hadir sebagai pelengkap

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Lima pasukan berstatus benua (continental) tidak mahu hadir ke edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang bermula dari 27 September hingga 4 Oktober depan sebagai pelengkap pasukan bertanding.

Sebaliknya, Nusantara Cycling Team (Indonesia), Thailand Continental Cycling Team (Thailand), 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina), Aisan Racing Team (Jepun) dan KSPO (Korea Selatan) sedar bahawa mereka membawa maruah negara masing-masing.

Malah, rekod juga membuktikan LTdL pernah menyaksikan pasukan dan pelumba pasukan benua mampu meraih penghormatan tertinggi apabila menang jersi pendahulu individu (GC) dan Pasukan Terbaik Keseluruhan.

Kali ini, Nusantara yang dipimpin pengurus Rastra Patria Dinawan masih mengekalkan barisan yang sama iaitu pelumba terbaiknya pada LTdL25, Maulana Astnan Al Hayat yang berada di tangga ke-37, Muhd Iman Arifin (92), Muhamad Ridwan (82), Muhamad Herlangga (46), Ade Meisa (78) dan Ilhan Dzikri Ramadan.

Pengalaman berkayuh pada tahun 2024 dan 2025 menjadi senjata terbesar wakil Indonesia ini meskipun bentuk laluan pada LTdL26 lebih mencabar berbanding hanya satu pendakian ke Bukit Fraser pada tahun lalu.

Sama seperti Thailand Continental Cycling Team yang berada di tangga ke-16 berpasukan keseluruhan tahun lalu, mereka mengekalkan tiga pelumba iaitu Tanakarn Chaiyasombat (yang ke-21); Aphisit Suphan (38) dan Noppachai Klahan (75); serta memperkenalkan tiga muka baru iaitu Peerapol Chawakiangkwang; Thanachat Yutan; dan Tulatorn Sasalam.

Wakil Jepun, Aisan yang kecewa apabila tiga pelumbanya gagal menamatkan kayuhan (DNF) pada Peringkat 8 dan terakhir dari Tangkak ke Kuala Lumpur tahun lalu, hanya menyenaraikan pelumba terbaiknya tahun lalu, Kazuto Minami (tangga ke-36), tetapi membawa tenaga baharu Yuhi Todome, Hijiri Oda, Hayato Tobaru (LTdL24), Rui Udagawa dan Keiko Kamiya untuk memikul cabaran tahun ini.

Nasib sama menimpa KSPO yang hanya menyenaraikan lima pelumba pada awalnya tetapi kehilangan tiga pelumba di akhir saingan, dan dengan hanya Kim Jinwoong (tangga ke-72) dan Shin Byeonghoon (98), wakil Korea Selatan itu tiada dalam klasifikasi berpasukan yang mewajibkan catatan tiga pelumba terbaik.

Selain Jinwoong dan Byeonghoon, pengurus pasukan Lee Byeongil turut menyenaraikan Kim Gukhyun, Park Jihwan, Kim Taehyoong dan Park Taejun yang terkeluar di peringkat lima tahun lalu.

Senario berbeza dibawa pengurus 7-Eleven Cliqq, Ric Rodriguez yang kali ini mengekalkan nisbah tiga pelumba kelahiran Filipina yang kesemuanya tiada dalam senarai tahun lalu iaitu Ronnilan Quita, Mervin Corpes dan Jaypee Orlante; manakala tiga tenaga import kali ini adalah Antoine Arnaud Robert Huby (FRA), James Steven Krzanich (NZL) dan Matthew Joel Sherwin (AUS).

Kehilangan pelumba import, Luke Burns seawal peringkat 2 menyebabkan strategi pasukan itu mengalami kesukaran dan terpaksa akur di tangga ke-13 keseluruhan berpasukan manakala pelumba terbaik adalah Joshua Pascual (tangga ke-35).

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, sekali pun berstatus benua, tidak mustahil pelumba dan pasukan dianggap kecil itu mampu berdiri di podium.

LTdL26 berstatus 2.ProSeries akan bermula dengan Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar pada 27 September ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5km.

Edisi ke-30 LTdL26 dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan mendapat sokongan penuh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat