KUCHING: Pendekatan Maqasid Syariah perlu diterjemahkan dan dijadikan panduan dalam meluaskan jaringan Islam di Sarawak hingga ke Nusantara, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengambil pendekatan islam sebagai Ad-Din (cara hidup yang merangkumi segenap aspek kehidupan manusia sama ada dari aspek politik, ekonomi dan sosial), beliau menyeru masyarakat Islam di negeri ini meluaskan lagi jaringan dakwah mereka.
“Kalau di media sosial, ia mempunyai satu perkataan yang sangat penting iaitu jaringan ‘World Wide Web’ (www), sama seperti Islam, biar kita mempunyai jaringan di antara kita setidak-tidaknya di Nusantara, sebab budaya kita adalah sama, cara hidup kita sama dan dakwah dijalankan adalah bersama.
“Kita cuma dipisahkan oleh politik tanpa sempadan dan islam tidak mempunyai politik tanpa sempadan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Muktamar Masjid-Masjid Serantau 2023 sempena sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka, di sini, hari ini.
Abang Johari turut menyeru Majlis Islam Sarawak (MIS) untuk menyebarkan dakwah dan ilmu dalam membangunkan umat Islam di negeri ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak menuju ke arah negeri maju dan berpendapatan tinggi 2030.
“Ini sasaran kita dan Insya-Allah selepas 2030 dengan generasi baru yang ada, idea baru, teknologi baru, kita dapat mengembangkan ajaran islam untuk kebaikan umat manusia,” katanya lagi.

