ARTIKEL

Lucille Awen Jon menghadiri Simposium TCE di Fuzhou, China.

Lucille bawa perspektif Sarawak ke simposium budaya antarabangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perspektif Sarawak dalam melindungi warisan budaya tradisional sambil membuka peluang ekonomi diketengahkan pada Simposium Antarabangsa Perlindungan dan Promosi Ekspresi Budaya Tradisional (TCE) di Fuzhou, China.

Pengasas Pungu Borneo, Lucille Awen Jon, menyertai simposium yang berlangsung dari 7 hingga 9 September lalu sebagai delegasi, penceramah dan ahli panel, selain menjadi satu-satunya peserta dari Malaysia dan Sarawak dalam kapasiti tersebut.

Simposium tiga hari itu dianjurkan bersama World Intellectual Property Organization (WIPO) dan National Copyright Administrations of China, dengan penyertaan hampir 400 peserta dari lebih 30 negara dan wilayah.

Lucille Awen Jon berucap pada Simposium TCE di Fuzhou, China.

Lucille membentangkan topik bertajuk ‘Leveraging IP for Economic Development While Preserving Traditional Cultural Expressions’ yang mengupas peranan harta intelek dalam pembangunan ekonomi tanpa menjejaskan kelangsungan budaya tradisional.

Beliau turut menyertai sesi panel yang membincangkan isu harta intelek antarabangsa dan ekspresi budaya tradisional daripada perspektif penggiat serta pembuat produk budaya.

Perbincangan memberi tumpuan kepada cabaran melindungi ekspresi budaya tradisional daripada penyalahgunaan, khususnya apabila pengetahuan, reka bentuk atau hasil budaya digunakan dalam produk komersial, platform digital dan industri kreatif.

Pada masa sama, peserta membincangkan keperluan memastikan budaya tradisional terus berkembang dan kekal relevan dalam kehidupan masyarakat moden.

Antara perkara lain yang dibincangkan ialah kerangka perundangan dan institusi bagi melindungi ekspresi budaya tradisional serta penggunaan sistem harta intelek untuk menyokong pembangunan ekonomi.

Pengalaman China dalam mengenal pasti, melindungi dan mempromosikan ekspresi budaya tradisional di peringkat tempatan turut menjadi sebahagian daripada perbincangan.

Peserta juga menyertai lawatan lapangan bagi melihat bagaimana sistem harta intelek, warisan budaya, industri tempatan dan pelibatan masyarakat digabungkan dalam usaha melindungi serta mempromosikan budaya tradisional di Fuzhou.

Lucille Awen Jon menyertai sesi panel membincangkan harta intelek antarabangsa dan ekspresi budaya tradisional.

Isu berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan Sarawak yang kaya dengan pelbagai ekspresi budaya tradisional termasuk kraftangan, anyaman, manik, tekstil, barang kemas, muzik dan pengetahuan yang diwarisi secara turun-temurun.

Perbincangan di peringkat antarabangsa itu turut membuka ruang untuk melihat bagaimana pendekatan harta intelek dan pembangunan industri kreatif dari negara lain boleh dijadikan rujukan dalam usaha melindungi warisan budaya serta memperluaskan peluang ekonomi penggiat tempatan di Sarawak.

Simposium berkenaan berakhir dengan penekanan terhadap pengukuhan perlindungan harta intelek, integrasi warisan budaya dengan industri kontemporari, inovasi digital serta kerjasama antarabangsa dalam melindungi ekspresi budaya tradisional.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road