ARTIKEL

Lukanisman bercakap pada sidang media selepas merasmikan Dialog Serantau ASEAN Mengenai Ubat Antiretroviral Mampu Milik di Kuching, hari ini. | Foto: RAMIDI SUBARI

Lukanisman: Malaysia belum capai sasaran global rawatan HIV

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak merekodkan kadar sebanyak 8.62 kes HIV bagi setiap 100,000 penduduk sepanjang tahun 2024, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Menurutnya, kadar tersebut adalah daripada jumlah keseluruhan 217 kes HIV yang direkodkan pada tahun lalu, dengan Bahagian Kuching mencatat jumlah kes tertinggi, iaitu sebanyak 74 kes atau 34.1 peratus.

“Bahagian lain yang turut mencatat kadar tinggi ialah Bintulu dengan 36 kes atau 16.6 peratus, diikuti Miri sebanyak 35 kes atau 16.1 peratus, Sibu sejumlah 27 kes, dan Samarahan sebanyak 20 kes.

“Data ini menunjukkan bahawa trend jangkitan HIV di negeri ini masih memerlukan perhatian serius, terutamanya di kawasan bandar utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Dialog Serantau ASEAN Mengenai Ubat Antiretroviral Mampu Milik dan Bengkel Pengukuhan Saringan serta Rawatan Komuniti untuk Populasi Utama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, data terkini menunjukkan sebanyak 76 peratus kes baharu jangkitan HIV melibatkan golongan lelaki yang kebanyakannya mengamalkan gaya hidup berisiko tinggi.

Dalam masa yang sama, katanya, data tersebut turut menunjukkan peningkatan jangkitan dalam kalangan remaja dan golongan dewasa berusia bawah 40 tahun.

“Di peringkat nasional, Malaysia menunjukkan kemajuan dalam menurunkan kadar jangkitan baharu HIV, iaitu penurunan sebanyak 50 peratus sejak tahun 2010.

“Namun begitu, negara masih belum mencapai sasaran global iaitu formula 95 peratus disaring, 95 peratus dirawat dan 95 peratus mendapat penindasan viral (viral suppression) seperti yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” jelasnya.

Tambahnya, setakat ini Malaysia hanya berada pada tahap 64-94-93, iaitu 64 peratus penghidap HIV mengetahui status jangkitan, 94 peratus menerima rawatan, manakala 93 peratus mencapai tahap viral yang terlalu rendah atau virus berjaya dikawal sepenuhnya melalui rawatan.

“Walaupun kadar pesakit yang dirawat dan berjaya mengawal HIV mereka ke tahap tidak dapat dikesan adalah tinggi, masih ramai yang belum mengetahui status kesihatan mereka dan ini menjadi cabaran utama yang perlu ditangani.

“Justeru, usaha kolektif semua pihak termasuk media dan masyarakat amat penting dalam menghapuskan stigma terhadap penghidap HIV yang masih menebal dalam kalangan masyarakat.

“Sokongan dan kesedaran masyarakat sangat penting.

Jika stigma masih kuat, pesakit akan terus takut untuk mendapatkan rawatan atau menjalani ujian,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya lebih banyak ujian saringan berasaskan komuniti diperluaskan melalui kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita membekalkan kit ujian HIV kepada NGO untuk memudahkan proses saringan.

Ini penting agar lebih ramai tampil secara sukarela dan tidak takut untuk mengetahui status kesihatan mereka.

“Rawatan awal bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah meningkatkan kualiti hidup.

HIV bukan lagi satu hukuman mati, ia boleh dikawal dengan rawatan moden,” katanya.

Tambahnya lagi, meletakkan keselamatan dan kesejahteraan pesakit sebagai keutamaan adalah langkah penting bagi memastikan mereka boleh menjalani rawatan tanpa rasa takut atau diskriminasi supaya Malaysia dapat mencapai matlamat untuk menamatkan HIV sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU