Lundu kembali berstatus jingga, 10 daerah kekal berstatus merah

KUCHING: Sepuluh daerah di Sarawak kekal berstatus merah dengan merekodkan sejumlah 2,003 jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak itu berkata, kesemua daerah itu merangkumi daerah Julau, Subis, Beluru, Kapit, Song, Dalat, Bintulu, Kanowit, Miri dan Sibu.

Bagaimanapun kata Uggah, daerah Lundu kembali berstatus jingga daripada merah setelah hanya merekodkan 31 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari lepas.

“Daerah Samarahan dan Sri Aman kekal berstatus jingga dengan 70 kes jangkitan tempatan di dua daerah ini dalam tempoh 14 hari lepas,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, terdapat 15 daerah lain kekal berstatus jingga setakat hari ini.

“Ini termasuk daerah Bau, Matu, Selangau, Kuching, Betong, Saratok, Sarikei, Sebauh, Lawas, Bukit Mabong, Tatau, Pakan, Serian, Belaga dan Meradong dengan jumlah 132 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas,” jelasnya.

Sementara itu katanya, sebanyak 12 daerah lain kekal berstatus hijau.