KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) berhasrat untuk menerapkan amalan pertanian tepat di Sarawak seperti yang dilaksanakan oleh Brunei Darussalam.
Menterinya Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, perkara tersebut penting untuk meningkatkan pengeluaran makanan di negeri ini khususnya melibatkan padi.
Katanya, hari ini (29 Feb) beliau akan melawat negara jiran itu untuk melihat bagaimana reka bentuk dan cara mereka menjalankan amalan pertanian tersebut.
“Saya difahamkan bahawa Brunei telah mencipta beberapa kejayaan dalam bidang ini, dan ia boleh diterima pakai di Sarawak.
“Kita sebenarnya mempunyai Taman Agroteknologi Sarawak (SARTECH) di Semenggok, dan selebihnya adalah seperti amalan pertanian tepat,” katanya.

(satu kiri) serta delegasi yang lain. (Foto oleh Mohd Alif Noni)
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Brunei Darussalam Datuk Dr. Abdul Manaf Metussin dan delegasi di Hotel Waterfront Kuching, malam tadi.
Untuk rekod, Kerajaan Sarawak sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM90 juta untuk membina tiga taman agro tepat iaitu di Rampangi, Kuching; Sungai Sibiew, Bintulu; dan Kabuluh, Miri.
Projek yang dijanga mula dilaksanakan pada suku keempat tahun ini atau suku pertama tahun depan itu juga akan memberi tumpuan kepada penanaman sayur-sayuran bernilai tinggi seperti tomato, cili, halia, dan bawang merah.


