KOTA SAMARAHAN: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) sedang merangka polisi baharu berhubung usaha untuk menghasilkan makanan haiwan ternakan berasaskan biojisim.
Menterinya, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, perkara tersebut kerana bahan buangan perladangan boleh ditukar sepenuhnya kepada makanan haiwan menerusi kaedah tersebut.
Katanya, jika Sarawak mampu melaksanakan usaha berkenaan negeri ini akan mempunyai bekalan makanan haiwan ternakan yang mencukupi pada masa akan datang.
“Kita akan bangunkan usaha ini di lima kilang produk pemprosesan yang kita sedia ada atau kita memanggilkan biojisim. Kita juga menggunakan ‘lalat askar hitam atau Black Soldier Fly (BSF)’ sebagai sumber protein tambahan.


“Justeru, menerusi kaedah ini kita juga menyasarkan untuk menghasilkan 600,000 metrik tan makanan haiwan ternakan setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan ke tapak projek bangunan baharu PPNS dan Pasar Borong Samarahan, di sini, hari ini.
Tambahnya, Sarawak perlu melaksanakan usaha ini kerana bahan mentah untuk menghasilkan makanan haiwan ternakan seperti bijirin jagung dari Brazil dan Argentina menjadi semakin meningkat.

