KUCHING: Kata sepakat dan persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan harus dicapai mengenai perbezaan tafsiran terhadap perlindungan (safeguard) perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, perbezaan seperti itu adalah perkara biasa dalam perbincangan mengenai hak-hak di bawah MA63.
“Memang ada perbezaan dalam tafsiran beberapa istilah dalam Perlembagaan dan MA63, khususnya mengenai definisi perlindungan (safeguard).
“Justeru, dialog berterusan adalah penting untuk mencapai persetujuan yang memberi manfaat kepada Sarawak, Sabah dan Kerajaan Persekutuan
“Kita telah menuntut penambahan kerusi Parlimen bagi memastikan hak kita terpelihara dan dilindungi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Pelajar Melayu Islam Cemerlang 2025 di Hotel Merdeka Palace, di sini, hari ini.
Beliau menambah bahawa perbincangan sedang dijalankan untuk memperincikan peratusan kerusi yang akan diperuntukkan kepada Sabah dan Sarawak, namun angka muktamad masih belum diputuskan walaupun penambahan telah dipersetujui.
“Cadangan 35 peratus perwakilan itu masih diperhalusi,” jelasnya.

