KUCHING: Seramai 23 orang lelaki tempatan yang dikatakan ahli kongsi gelap ‘Geng 24 Hung-Hung’ didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan terlibat dalam kumpulan jenayah terancang sejak enam tahun lalu.
Kesemua tertuduh ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam satu operasi khas ‘Op Pusak Merah’ pada 19 April sehingga 23 April lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berusia 18 tahun hingga 44 tahun itu sebaik sahaja satu pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan tiga Mahkamah Sesyen berasingan.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 24 Hung-Hung’, di ladang kelapa sawit, Kampung Temaga Cina/Dayak, Sematan, antara Disember 2021 hingga 20 April 2026.

Mahkamah menetapkan tarikh 22 Jun depan, bagi pengurusan kes sementara menunggu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Semasa prosiding kes, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada semua tertuduh memandangkan ia kesalahan yang tidak boleh dijamin dan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kesemua tertuduh dilanjutkan reman di penjara Puncak Borneo sehingga kes selesai.
Kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid, Hakim Iris Awen Jon dan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Pendakwaan kes dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Shafiq Hasim dan DPP Maryam Jamielah Ab Manaff.
Sementara itu, 22 orang tertuduh diwakili peguam secara berasingan iaitu Peguam Hani Iryani Bonny, Patrick Voon, Ralph Lee, Daniel Ling, Datuk Shankar Ram, manakala seorang lagi tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, CP, Datuk M.Kumar Muthuvelu berkata, seramai 23 suspek lelaki tempatan berumur antara 19 hingga 44 tahun ditahan dalam operasi khas, Ops Pusak Merah, yang dilancarkan dari 19 hingga 23 April lalu.

“Kumpulan terbabit diketuai seorang lelaki berusia 41 tahun itu aktif sejak 2020 itu dipercayai mempunyai 26 ahli terdiri daripada penjenayah berulang.
“PDRM juga masih mengenal pasti identiti tiga lagi ahli yang masih bebas dan usaha sedang giat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
“Kumpulan tersebut dipercayai menjalankan kegiatan pemerasan bagi mendapatkan wang perlindungan selain melakukan serangan ke atas premis yang enggan membuat bayaran.
“Kumpulan itu juga dipercayai terlibat dalam ugutan jenayah dan mencederakan individu yang tidak menurut kemahuan mereka, selain melakukan pelbagai jenayah serius bagi memperluas pengaruh serta memperoleh keuntungan material,” tambahnya.
Semasa sebutan kes hari ini, kesemua tertuduh dibawa menggunakan trak dan van PDRM serta dikawal ketat. Mereka tiba di mahkamah sekitar 12.30 tengah hari.


