KUCHING: Pemeriksaan rekod perakaunan Cahya Mata Sarawak Berhad oleh Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib ditangguhkan sementara selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan penggantungan interim oleh syarikat itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Zaleha Mohd Yusuf Pan membenarkan penggantungan berkenaan sementara menunggu pendengaran permohonan Cahya Mata Sarawak untuk menggantung pelaksanaan perintah pemeriksaan sehingga rayuan ke atas keputusan mahkamah pada 8 Oktober lalu diputuskan.
Permohonan itu, yang difailkan melalui Enklosur 183, akan didengar pada 12 November ini. Kedua-dua pihak perlu memfailkan afidavit dan hujahan masing-masing sebelum tarikh pendengaran.
Pada 8 Oktober lalu, mahkamah membenarkan sebahagian permohonan Abu Bekir di bawah Seksyen 245 Akta Syarikat 2016 untuk memeriksa rekod perakaunan dan dokumen lain Cahya Mata Sarawak bagi tahun kewangan 2021 hingga 2025.
Rekod yang dinyatakan dalam perintah itu termasuk akaun pengurusan, lejar am, lejar akaun belum terima dan belum bayar, lejar aset tetap serta senarai inventori.
Cahya Mata Sarawak sebelum ini diperintahkan menyediakan rekod berkenaan untuk pemeriksaan dalam tempoh 14 hari selepas menerima perintah mahkamah.
Bagaimanapun, sebelum perintah itu dimeterai, juruaudit syarikat yang diluluskan perlu mengemukakan aku janji bertulis di bawah Seksyen 245(8) Akta Syarikat 2016 bahawa maklumat yang diperoleh melalui pemeriksaan hanya akan didedahkan kepada Abu Bekir, selain memfailkan salinan lesen juruaudit.
Peguam Abu Bekir memaklumkan bahawa juruaudit telah dilantik dan dokumen yang diperlukan sudah tersedia, namun perintah pemeriksaan itu masih belum dimeterai.
Keputusan mahkamah pada 8 Oktober lalu kekal, namun penggantungan interim bermakna pemeriksaan rekod berkenaan tidak boleh diteruskan sehingga permohonan Cahya Mata Sarawak diputuskan.
Satinder Singh Sandhu mewakili Abu Bekir, manakala Alvin Chong, Jonathan Tay dan Ezekiel Chong mewakili Cahya Mata Sarawak.

