ARTIKEL

Gambar hiasan

Mahkamah Tinggi ganti perintah Henry Gurney dengan penjara enam tahun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perintah ke Sekolah Henry Gurney selama enam tahun seorang remaja lelaki ditukar kepada enam tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi hari ini, atas dua pertuduhan menyebabkan kematian lima individu dalam satu kemalangan ngeri di Jalan Stutong Baru, Januari tahun lalu.

Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah memutuskan demikian selepas menerima rayuan pihak pendakwaan atas hukuman yang dijatuhi Mahkamah Majistret terhadap remaja berusia 16 tahun pada 17 Jun 2025.

“Perintah Majistret yang mengarahkan pesalah kanak-kanak itu ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun adalah diketepikan.

“Sebagai ganti, mahkamah bersetuju dengan rayuan pihak pendakwaan dengan mengubah hukuman penjara enam tahun seperti yang dibenarkan di bawah Seksyen 91(1)(h) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Pesalah kanak-kanak dalam kes ini tidak boleh ditangani dengan sewajarnya dihantar ke Sekolah Henry Gurney, kerana had statutori tiga tahun dan tidak sesuai kerana keseriusan kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam penghakiman hari ini.

Tambah beliau, di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah hendaklah dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun, dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM50,000.

Tegas beliau dalam penghakimannya, penahanan di sekolah tersebut selama tiga tahun adalah tidak mencukupi.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jean Siow Chung Hwei manakala responden diwakili Peguam Jong Yee Ling.

Terdahulu pada 17 Jun 2025, di bawah pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, kerana memandu di jalan raya secara melulu hingga menyebabkan kematian lima individu berusia 16 tahun hingga 42 tahun.

Manakala pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(5) Akta yang sama, kerana memandu kereta di bawah umur 16 tahun menggunakan kenderaan jenis sedan iaitu Proton Saga.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu, dilakukannya di Jalan Stutong Baru, sekitar jam 1.10 petang, 14 Januari 2025.

Mahkamah Majistret memerintah tertuduh dihantar ke Sekolah Henry Gurney sehingga usia 21 tahun bagi pertuduhan pindaan pertama.

Manakala, pertuduhan kedua, dia dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU