ARTIKEL

TIBA… Datuk Seri JC Fong tiba di Mahkamah Tinggi Kuching hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuching putuskan tuntutan jaminan bank RM7.95 juta PETRONAS sah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Usaha PETROS untuk membatalkan tuntutan jaminan bank oleh PETRONAS tidak berjaya apabila keputusan Mahkamah Tinggi Kuching hari ini memihak kepada PETRONAS.

Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah memutuskan tuntutan bernilai RM7.95 juta itu sah kerana jaminan bank berkenaan bersifat ‘on-demand’ dan tidak tertakluk kepada sebarang syarat, sekali gus membolehkan ia dituntut melalui permintaan bertulis.

Mahkamah turut mengambil kira wang jaminan bank tersebut telah diterima dan digunakan, menjadikan permohonan injunksi untuk menghalang tuntutan itu tidak lagi praktikal.

Bercakap bagi pihak Kerajaan Sarawak, Penasihat Undang-Undang Sarawak, Datuk Sri JC Fong berkata, isu perlembagaan kini akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana Mahkamah Tinggi hanya membuat keputusan bersifat komersial dan tidak menilai isu perlembagaan.

Datuk Sri JC Fong.

“Perkara ini akan dibawa ke Mahkamah Persekutuan selepas ini.

Perbicaraan dijangka bermula pada 16 Mac 2026, dengan kemungkinan tarikh tambahan akan ditetapkan kemudian,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Tinggi Kuching hari ini.

Datuk Cyrus Das.

Beliau menasihati orang ramai untuk menunggu prosiding Mahkamah Persekutuan yang dijangka bermula dengan permohonan kebenaran pada 16 Mac depan.

Menurut wakil peguam Kerajaan Persekutuan, Datuk Cyrus Das, PETROS juga diperintahkan membayar kos sebanyak RM50,000 selepas gagal membuktikan tuntutan itu bersifat tidak berpatutan atau menyalahi undang-undang.

Terdahulu, mahkamah menjelaskan perbicaraan hari ini hanya menilai kesahihan tuntutan jaminan bank seperti yang dihujahkan dalam notis usul oleh PETROS, tanpa melibatkan isu lain yang tidak dipohon secara khusus.

Menurut hakim, PETROS tidak memohon sebarang perisytiharan untuk mencabar kesahan Perjanjian Jual Beli Gas Sarawak (SGSA) atau untuk menentukan sama ada DGO terpakai kepada PETRONAS sehingga memerlukan lesen negeri.

Katanya, mahkamah tidak mempunyai asas untuk membuat keputusan berhubung perkara-perkara tersebut.

Pada prosiding hari ini, PETROS diwakili oleh Tan Seri Cecil Abraham, Sim Hui Chuang, Lim Lip Tze dan Rosalie Tien, manakala PETRONAS diwakili Datuk Dr Cyrus Vinala Kumar, Khoo Guan Huat, serta Alex Ngu Sze Sha.

Datuk Seri Fong Joo Chung hadir sebagai pemerhati mewakili Kerajaan Sarawak.

Untuk rekod, PETRONAS menuntut jaminan bank selepas PETROS enggan membuat pembayaran bagi bekalan gas pada Ogos 2024, dengan alasan PETRONAS tidak mempunyai lesen sah di bawah DGO untuk membekalkan gas di Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU