ARTIKEL

Mahkamah tolak petisyen batal keputusan PRU-15 Lubok Antu, Rayong perlu bayar kos

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen Lubok Antu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol menolak petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Timbalan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dr Johnical Rayong Nyipa.

Calon GPS yang menang, Roy Angau Gingkoi sebagai responden pertama manakala Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing sebagai responden kedua dan ketiga.

Mahkamah memerintahkan Rayong membayar kos RM10,000 kepada Roy sebagai responden pertama dan RM10,000 lagi kepada responden kedua dan ketiga.

Terdahulu, pihak responden mengemukakan notis permohonan atas alasan petisyen pilihan raya Rayong difailkan di luar lingkungan masa, selain tidak mengandungi elemen-elemen yang diperlukan.

Rakam kenangan.. Peguam yang mewakili SPR dan RO dari Jabatan Peguam Negara Mohammad Al-Saifi Hashim (tengah kanan), Saravanan Kuppusamy (tengah kiri), Nor’Aqilah Abdul Halim (kanan) dan Nur Syazwani Abdul Aziz(kiri))

Pada 3 Januari lepas, peguam Clement Wong yang mewakili Rayong memfailkan petisyen pilihan bagi mendapatkan deklarasi untuk membatalkan keputusan PRU-15 bagi kerusi Lubok Antu.

Clement berkata Rayong mengemukakan tiga alasan yang diperuntukan mengikut Seksyen 32(a), (b) dan (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk menyokong rayuannya.

Tiga alasan tersebut ialah kegagalan RO melakukan semula pengiraan (undian) apabila diminta berbuat demikian selepas Rayong kalah kepada Roy dengan majoriti tipis iaitu 100 undi.

Manakala, alasan kedua dan ketiga adalah terdapat unsur rasuah dan sogokan.

Pada 23 November tahun lalu, Rayong meminta agar SPR mengira semula kertas undi dan menyemak semula kertas undi rosak dan tidak dikembalikan serta peratusan pengundi keluar mengundi (bagi konstituensi Lubok Antu).

Keputusan PRU lalu menyaksikan calon GPS, Roy Angau Gingkoi mendapat 6,644 undi manakala Rayong, calon PSB mendapat 6,544 undi.

Manakala, Jugah Muyang menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) mendapat 5,360 undi sementara calon Pakatan Harapan Langga Lias hilang deposit yang hanya meraih 746 undi.

Secara keseluruhannya, 19,537 undi bagi kerusi Lubok Antu, 200 undi rosak dan 43 kertas undi tidak dikembalikan dan peratusan keluar mengundi sebanyak 67.4 peratus.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU