Majikan, pekerja saling bertoleransi

KUCHING: Berbeza dengan sambutan tahun-tahun sebelum ini, sambutan Hari Pekerja pada tahun ini agak berbeza berikut pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP.

Suara Sarawak menemui individu yang bertugas demi kelestarian dan pembangunan negara dalam apa-apa juga aspek termasuklah ekonomi, sosial, keselamatan, kesihatan dan sebagainya Pengamal media, Nur Shazreena Ali, 32, berkata, pekerja merupakan aset terbaik dalam pembangunan negara, yang perlu diimplimentasikan dalam setiap polisi sama ada dalam tindakan strategik dan kolektif.

“Setiap majikan dan pekerja perlu saling bertoleransi dan mempraktikkan komunikasi berkesan dalam apa-apa juga situasi sama ada dalam membuat keputusan, penyampaian maklumat dan menentukan prestasi,” katanya.

Bagi penghantar barang untuk Lyfe, Lee Yi Han, 27, pekerja perlu bijak mencari peluang seperti dalam tempoh PKP.

“Saya memilih menjadi penghantar barang kerana ia membantu menjana pendapatan.

“Melakukan pekerjaan ini adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa di rumah.

Saya berharap semua pekerja kekal positif apabila kembali bekerja tidak lama lagi dan lebih produktif menghadapi fasa pemulihan ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Kota Samarahan ASP Austin Patrick Angkon berkata, kelangsungan negara bergantung kepada kekuatan rakyat untuk bekerjasama menggunakan tenaga dan akal fikiran masing-masing.

“Kekuatan petugas barisan hadapan kini menjadi senjata utama dalam menangani Covid-19.

“Maka sudah tentu ketahanan fizikal dan mental anggota polis dan tentera berada pada tahap optimum.

Berkat kesabaran dan kesungguhan, petugas ini mampu melaksanakan tanggungjawab ini dengan cemerlang. Tahniah semua dan Selamat Hari Pekerja,” katanya.

Manakala juruterbang berpengalaman, Amira Nuria Anuar, 31, menjelaskan, semua kakitangan industri penerbangan perlu tabah dalam tempoh sukar dan mencabar ini kerana industri penerbangan turut menerima kesan mendalam akibat penularan Covid-19.

“Kita tidak dapat jangka apa-apa yang akan berlaku dalam industri ini pada masa akan datang, dengan kurangnya penerbangan.

“Kepada semua pekerja, teruskan menjalani kehidupan harian dan sentiasa selamat bersama-sama keluarga,” katanya.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Mohammad Nawi Mohamad Talib, 36, berkata, pekerja merupakan tulang belakang kerajaan dalam menjayakan program kerajaan selain memacu kembali ekonomi setelah dilanda Covid-19.

Suara Sarawak