PADAWAN: Kewujudan Majlis Kanak-Kanak Padawan dijangka mampu membentuk Padawan sebagai sebuah kawasan yang lebih inklusif, prihatin dan sejahtera.
Pengerusinya, Cr Tan Kai berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha membentuk Padawan sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) yang diterajui UNICEF.
“Ia menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan sebagai entiti mesra kanak-kanak, sekali gus merupakan sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 dengan keterangkuman sosial sebagai salah satu tonggak utama.
“Dengan suara kanak-kanak di Padawan didengari, tiada siapa akan ketinggalan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa inisiatif itu membuktikan suara kanak-kanak dihargai serta diterjemahkan dalam pembangunan komuniti dan proses membuat keputusan.
Majlis itu berlangsung dengan lancar sebelum disusuli mesyuarat pertama bagi tahun 2026.
Untuk rekod, Majlis Kanak-Kanak Padawan dilantik pada Mac 2025.
Sejak itu, majlis terbabit dilihat aktif menyumbangkan idea kepada pembangunan Padawan dengan menyuarakan perspektif kanak-kanak semasa peringkat perancangan serta dalam pelaksanaan Pelan Tindakan CFCI Padawan.
Terdahulu, majlis turut dihadiri Timbalan Pengerusi MPP, Cr Mahmud Datuk Seri Ibrahim; Setiausaha MPP, Ir Ts Goh Thiam Ho serta wakil daripada pihak UNICEF.

