ARTIKEL

Abdul Karim dan Snowdan Lawan bergambar bersama barisan ahli majlis baharu SCC.

Majlis Kraf Sarawak: Fasa Baharu Industri Kraf Bermula

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pemerkasaan Majlis Kraf Sarawak (SCC) secara rasmi memasuki fasa baharu apabila mesyuarat pertama lembaga pengarahnya berlangsung semalam, sekali gus menandakan permulaan kepada hala tuju yang lebih tersusun bagi pembangunan industri kraf negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga Pengerusi SCC berkata, pewartaan Ordinan Majlis Kraf Sarawak pada 1 Mei lalu memberikan SCC struktur perundangan yang lengkap, termasuk keupayaan mentadbir sendiri kewangan dan program-program pembangunan kraf.

“Kalau dahulu Majlis Kraf Sarawak hanya ditadbir sebagai satu unit dalam kementerian, kini kita sudah ada sebuah badan profesional dengan ahli majlis yang dilantik serta struktur pentadbiran dengan pelantikan Suriya Charles Boas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

“Ini bukan lagi sebuah badan yang bersifat pentadbiran semata-mata, tetapi satu institusi yang boleh merancang, mengurus dan memperkasa penggiat kraf tempatan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat di sebuah hotel di sini hari ini.

Menurut Datuk Seri Abdul Karim, mesyuarat pertama tersebut merangkumi perbincangan mengenai hala tuju strategik jangka pendek dan panjang, termasuk membentuk garis panduan standard produk, strategi pemasaran, penglibatan komuniti luar bandar serta perancangan program pembangunan seperti ekspo, seminar dan bengkel.

Beliau berkata antara keutamaan SCC ialah memperluas jaringan kerjasama dengan sektor korporat dan antarabangsa.

“Kita sudah ada kerjasama dengan Sarawak Energy menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk membangunkan pengkraf di kawasan pedalaman. Kita juga mahu melibatkan lebih banyak syarikat besar yang lain,” katanya.

“Pada masa yang sama, kita akan belajar daripada negara jiran seperti Indonesia yang berjaya menganjurkan INA Craft Expo dengan penyertaan lebih 5,000 penggiat kraf. Kita mahu menuju ke arah itu,” jelasnya.

Ujarnya, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SCC.

“Ahli Majlis SCC terdiri daripada tokoh pelbagai latar belakang dan bidang termasuk Datuk Sherrina; Setiausaha Tetap MTCIPA dan pakar dokumentasi serta warisan kraf, Datuk Dr Rashidah.

“Selain itu, turut dilantik ialah pengasas Tanoti Datuk Jacqueline Fong , Dr Nadia Natra Musa dari CENTEXS, Edric Ong (WCC Asia Pasifik), Malia Lingi (Yayasan Tun Jugah), Nur Rahmah Ranung Abdullah (Presiden SCARF) dan Diana Rose (Batik Linut).

Gabungan ini, katanya, bukan sahaja menyumbang kepakaran teknikal dan seni kraf, tetapi juga mencerminkan kepelbagaian kaum serta wilayah yang mewakili seluruh Sarawak.

“Saya tidak mahu ada kaum yang berasa tidak diwakili. Kita ada Orang Ulu, Melayu-Melanau, Cina, Iban dan Bidayuh.

“Walaupun tidak boleh memasukkan kesemua lebih 30 etnik, kita pastikan suara mereka ada dalam lembaga ini,” ujarnya.

Tambahnya, SCC juga akan memainkan peranan dalam memudahkan akses kepada bantuan dan insentif termasuk latihan, pemasaran digital serta dana mudah cara dan Dana Teroka Kreatif.

“Kita tidak mengenakan bayaran bulanan kepada penggiat kraf yang mahu mendaftar. Sebaliknya, kita sediakan bantuan, promosi dan peluang untuk mereka berkembang.

“Kalau mereka enggan mendaftar, mereka sendiri yang rugi,” tegasnya.

Katanya, latihan termasuk keusahawanan digital akan dijalankan melalui pusat-pusat kraf di seluruh negeri, manakala penyertaan dalam acara tahunan kerajaan seperti regata atau festival turut disusun bagi memberi ruang pemasaran yang lebih meluas kepada produk kraf tempatan.

“Inilah platform untuk kita melahirkan lebih ramai pengkraf, bukan sekadar menjaga warisan tetapi juga sebagai sebuah industri yang menjana pendapatan, terutamanya kepada komuniti luar bandar dan suri rumah yang boleh menjadikan kraf sebagai sumber sampingan,” katanya lagi.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road