ARTIKEL

Yakub dan Royston bersama yang lain menyaksikan upacara miring dalam Majlis Mantar Gawai, malam tadi.

Majlis Mantar Gawai pupuk perpaduan masyarakat Mukah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Majlis Mantar Gawai memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan masyarakat serta menyemai semangat kerjasama dan kasih sayang dalam kehidupan bermasyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata masyarakat di negeri ini, khususnya di Mukah, perlu terus mempertahankan adat resam, budaya dan bahasa.

“Ini kerana ia adalah identiti yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan rakyat Sarawak.

“Dalam kehidupan moden hari ini, pelbagai pengaruh luar memasuki kehidupan masyarakat, namun kita mesti bijak memelihara adat yang baik sambil menerima pembangunan,” katanya.

RASMI….Yakub dan Royston menyempurnakan simbolik perasmian dengan memukul gong dalam majlis tersebut.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mantar Gawai Mukah 2026 di Kingwood Resort, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Yakub turut menzahirkan penghargaan kepada Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) kerana menganjurkan majlis tersebut.

Jelasnya, majlis tersebut berjaya menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh harmoni, kasih sayang dan semangat kekeluargaan.

RAKAM KENANGAN…Yakub dan Royston merakam kenangan bersama yang lain selepas majlis itu.

“Penganjuran majlis ini bukan sesuatu yang mudah tanpa sokongan dan kerjasama pelbagai pihak.

“Ini termasuk jawatankuasa pengurusan, pemimpin masyarakat, ketua kaum, golongan belia serta penduduk setempat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berharap generasi muda terus dididik supaya mengenali sejarah, adat resam, budaya dan bahasa sendiri agar warisan tersebut tidak luput ditelan zaman.

Sementara itu, ADUN Tellian, Royston Valentine berkata sambutan Gawai Dayak perlu dijadikan platform untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, memperkukuh perpaduan dan memelihara adat serta budaya masyarakat Sarawak.

Menurutnya, tradisi Mantar Gawai bukan sekadar upacara kebudayaan, malah menjadi simbol perpaduan dan medium penting dalam memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat.

“Tradisi ini mengajar kita untuk menghormati sesama sendiri, menghargai adat resam tradisional serta memupuk semangat menjaga kesejahteraan komuniti di Sarawak.

“Kita juga sedia maklum bahawa budaya sesuatu bangsa tidak akan dapat bertahan tanpa adanya individu yang sanggup meneruskannya kepada generasi baharu,” ujarnya.

Sehubungan itu, Royston berharap adat resam dan program kebudayaan terus dipelihara serta dijadikan medium untuk memperkukuh hubungan erat antara semua lapisan masyarakat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU