BINTULU: Penganjuran Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2025 menjadi landasan penting dalam memperkukuh perpaduan serta meraikan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia.
Ketua Bahagian Parti Demokratik Progresif (PDP) Samalaju, Hillary Mawan Antar berkata, program itu merupakan sebahagian inisiatif di bawah kluster Semarak Segulai Sejalai dan flagship Kembara Perpaduan Malaysia MADANI, yang bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan serta memupuk pemahaman dan penghargaan adat, seni dan budaya pelbagai kaum di negara ini.
“Semangat Segulai Sejalai bukan sekadar ungkapan, tetapi lambang kebersamaan yang mencerminkan keharmonian dan saling menghormati antara rakyat berbilang bangsa dan agama. Inilah nilai yang ingin kita suburkan melalui penganjuran majlis ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2025 anjuran PDP Jepak dan Samalaju yang diadakan di sebuah restoran di sini, Khamis malam.
Menurut Hillary, tema Gawai Dayak tahun ini ‘Segulai Sejalai’ amat selari dengan konsep Malaysia MADANI yang diketengahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan enam tonggak utama iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.
“Setiap rakyat perlu memainkan peranan dalam memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan. Hanya dengan kerjasama dan kesedaran bersama, kita mampu mengekalkan keharmonian yang menjadi asas kestabilan negara,” tambahnya.


