KUCHING: Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DBKU terima kunjungan pelancong dari negara jiran, Indonesia seawal 9.40 pagi, hari ini.
Rumah terbuka terbuka tersebut turut meriah dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan agama.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, DBKU menguar-uarkan jemputan rumah terbuka seminggu sebelum sambutan Hari Raya.
“Apabila bertanya kepada pelancong yang datang ke rumah terbuka kita, ramai yang memberitahu, mereka tepersona dengan sambutan perayaan Hari Raya di negeri kita yang dirayakan oleh semua kaum dan agama,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DBKU di Ibu Pejabatnya di Bukit Siol, hari ini.
Ujarnya, rumah terbuka ini menunjukkan masyarakat berbagai kaum di Sarawak menekankan perpaduan dan semangat muhibah bersama-sama.
Beliau memberitahu sekitar 4,000 tetamu dijangka hadir ke Rumah Terbuka DBKU yang bermula 10 pagi hingga 4 petang, hari ini.

