ARTIKEL

Abdul Rahman (tengah) bersama tetamu kehormat yang lain menunjukkan poster Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi selepas sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Serian, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak di Serian, hari ini.

Majlis Tilawah Al-Quran Sarawak Terima 43 penyertaan Tahun Ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Sebanyak 43 penyertaan diterima bagi Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Sarawak Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi yang akan berlangsung dari 4 hingga 7 Februari depan di Pusat Konvensyen Serian (SCC) dengan penyertaan golongan muda menunjukkan peningkatan ketara.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penyertaan pada tahun ini melibatkan peserta berpengalaman dan juga muka baharu.

Menurutnya, bagi kategori tilawah, peserta termuda ialah seorang qari berusia 22 tahun dari Bintulu manakala peserta paling senior berusia 60 tahun dari Mukah.

“Bagi kategori hafazan pula, penyertaan lebih didominasi peserta muda yang melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi, sekolah, madrasah dan tahfiz. Peserta paling muda berusia 14 tahun manakala yang paling senior berusia sekitar 25 tahun,” jelasnya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Serian, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak di Serian, hari ini.

Beliau menambah, daripada jumlah keseluruhan penyertaan itu, seramai 22 peserta akan mengambil bahagian dalam kategori tilawah iaitu 13 qari dan sembilan qariah.

“Manakala bagi kategori hafazan, seramai 21 peserta akan bertanding merangkumi 15 peserta lelaki dan enam peserta wanita. Ini sekali gus menyaksikan hampir kesemua bahagian di Sarawak menghantar wakil masing-masing,” ujarnya.

Majlis ini dianjurkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS) bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) serta dikoordinasi oleh Pejabat Residen Bahagian Serian dengan sokongan pelbagai agensi Kerajaan Sarawak dan Persekutuan.

Penganjuran tahun ini membawa tema “Ummah Maju dan Makmur” yang merupakan tema induk program Islam di Sarawak sebelum ini.

“Objektifnya adalah untuk menyemarakkan semangat cinta umat Islam kepada al-Quran, kitab suci yang bersifat syumul dan merangkumi semua aspek kehidupan. Ia juga usaha melahirkan lebih ramai qari, qariah, hafiz dan hafizah berkaliber serta mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan peserta,” jelas Abdul Rahman.

Beliau menegaskan, program itu turut bertujuan meningkatkan usaha menggilap dakwah ke arah memperkukuh keimanan, ketakwaan serta amalan akhlak yang mulia.

Mengenai hadiah, beliau memaklumkan bagi kategori tilawah, johan qari dan qariah masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM10,000, naib johan (RM7,000), tempat ketiga (RM5,000) dan saguhati RM1,500.

Bagi kategori hafazan 1 hingga 30 juzuk, johan menerima RM5,000, naib johan (RM3,000), tempat ketiga (RM2,000) dan saguhati RM500. Bagi kategori 1 hingga 20 juzuk, johan menerima RM4,000, naib johan (RM2,500), tempat ketiga (RM1,500) dan saguhati RM500.

“Bagi kategori hafazan 1 hingga 10 juzuk pula, johan menerima RM3,000, naib johan RM2,000, tempat ketiga RM1,000 dan saguhati RM500. Kesemua pemenang turut menerima piala, hadiah iringan dan sijil,” jelasnya.

Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sepanjang majlis berlangsung. Tetamu kehormat termasuk Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang akan merasmikan majlis pada 4 Februari.

Pada majlis penutup dan penyampaian hadiah pada 7 Februari, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dijangka akan berangkat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU