Makmal inovasi di Samarahan setaraf dunia

KOTA SAMARAHAN: Pada masa akan datang, belia lepasan institusi pengajian tinggi (IPT) tidak lagi mencari pekerjaan, sebaliknya mencipta pekerjaan untuk komuniti.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Holdings Berhad Datuk Dr Ir. Mohd Abdul Karim Abdullah percaya situasi itu dapat dijayakan dengan adanya platform untuk belia mengekspresi idea intelektual dan kreativiti mereka.

Menurutnya, kewujudan hab inovasi melalui makmal inovasi di D-Virtual Park di sini diyakini akan menjadi entiti profesional dalam dunia teknologi, yang dapat membantu komuniti.

“Kerajaan kini melihat penciptaan kerjaya oleh lepasan IPT kerana ramai yang tidak mendapat pekerjaan.

Mereka ini akan dapat mencipta pekerjaan dengan adanya ruang disediakan kepada mereka.

“Melalui platform permulaan makmal inovasi ini, Serba Dinamik bekerjasama dengan hab pemula niaga dari Startup Borneo, yang kini mempunyai 23 keahlian.

“Saya percaya generasi milenium ini sangat berinovatif dan bermatlamat dengan setiap idea mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada sesi bersama media di D-Virtual Park di sini, malam kelmarin.

Jelasnya lagi, platform frabrikasi makmal inovasi ini akan didaftarkan sebagai makmal inovasi berdaftar, malah akan setanding dengan makmal inovasi di seluruh dunia, antaranya Makmal Inovasi di Stanford, California; Senzhen, China dan banyak lagi.

“Secara realitinya, ia bakal membawa manfaat rangkaian global kepada rangkaian perkilangan, penghasilan produk dan semua ekosistem yang ada kepada sesiapa sahaja yang memerlukan dan termasuk di Samarahan ini.

“Pastinya Samarahan kelak akan dikenali di peringkat global, dengan kehadiran ramai pelancong dari seluruh dunia yang hadir untuk merasai sendiri kemudahan yang kita sediakan di sini.

“Kita juga akan pastikan ia terus berkembang khasnya untuk lepasan IPT.

“Pada masa yang sama dapat mengurangkan masalah pengangguran,” jelasnya.