HARI Raya Aidilfitri sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh negara kerana ia bukan sekadar perayaan, tetapi lambang kemenangan selepas sebulan berpuasa.
Suasana menjelang Hari Raya sering diselubungi rasa teruja yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Di kota mahupun desa, persiapan dilakukan dengan penuh semangat. Ada yang mengecat rumah, menukar perabot dan sebagainya untuk menyambut hari lebaran.
Di kampung-kampung, suasana lebih meriah apabila anak-anak mula pulang dari perantauan, sekali gus menjadikan rumah yang sebelum ini sunyi kembali bernyawa dengan gelak tawa keluarga.
Bagi kebanyakan perantau, detik paling ditunggu ialah perjalanan pulang ke kampung halaman. Walaupun jalan raya sesak, hal itu tidak mematahkan semangat mereka untuk bertemu insan tersayang.
Sehubungan itu, hari pertama Aidilfitri sering menjadi detik paling bermakna bagi umat Islam.
Takbir bergema, menyentuh hati yang lama menahan rindu, terutamanya kepada mereka yang telah pergi buat selama-lamanya. Di sebalik senyuman, terselit juga rasa sayu yang sukar digambarkan.
Di meja makan pula, hidangan tradisi seperti ketupat, rendang dan lemang menjadi penyeri suasana. Namun, bagi sesetengah keluarga, tidak semua kerusi di meja makan itu terisi penuh seperti dahulu.

Hari Raya juga menjadi masa untuk mengeratkan silaturahim antara sanak saudara. Rumah terbuka diadakan, manakala jiran tetangga saling berkunjung tanpa mengira bangsa dan agama.
Di Sarawak khususnya, amalan kunjung-mengunjungi menjadi simbol perpaduan yang kukuh dalam masyarakat berbilang kaum. Hal ini menjadikan sambutan lebih harmoni dan bermakna.
Namun, kegembiraan itu tidak kekal lama kerana selepas beberapa hari bercuti, ramai mula bersiap untuk kembali ke kota.
Suasana di rumah kembali perlahan-lahan sunyi. Ketawa yang dahulu memenuhi ruang tamu kini bertukar menjadi keheningan.
Ibu dan ayah yang menghantar anak-anak ke perantauan hanya mampu melambaikan tangan dengan senyuman sambil menyembunyikan kesedihan.
Anak-anak pula kembali ke kehidupan di bandar, membawa bersama bekalan kasih sayang dari kampung halaman.
Perpisahan ini, walaupun sementara, tetap meninggalkan kesan di hati. Setiap kali Aidilfitri berakhir, perasaan sayu itu tetap berulang.
Namun begitu, kehidupan perlu diteruskan kerana tanggungjawab mencari rezeki di kota menuntut pengorbanan yang besar.
Setiap tahun, suasana Hari Raya mungkin hampir sama, tetapi perasaan yang dialami tidak pernah sama. Ada yang bertambah bahagia, ada juga yang semakin dirundung rindu.
Oleh itu, setiap detik bersama-sama keluarga ketika Hari Raya harus dihargai sebaiknya kerana ia mungkin tidak akan berulang dalam keadaan yang sama.
Justeru, Hari Raya bukan sekadar perayaan, tetapi sebuah perjalanan emosi antara kegembiraan, kerinduan dan pengorbanan.



