KUALA LUMPUR: Kementerian Luar merancang untuk mengekalkan hubungan dengan peserta media asing dalam Program Pelawat Media Asing Malaysia menerusi program alumni yang bertujuan memupuk hubungan lebih erat, sebagai sebahagian usaha diplomasi medianya.
“Kementerian Luar berhasrat untuk menjalin hubungan yang lebih erat dengan anda semua,” kata Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad, pada majlis penutup Program Pelawat Media Asing Malaysia yang julung kali diadakan menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia.
Sambil menyifatkan para peserta program sebagai kumpulan perintis, Ahmad Faisal menyatakan harapan agar hubungan yang terjalin sepanjang program 11 hari itu, melibatkan 13 pengamal media dari 10 negara berinteraksi dengan agensi kerajaan serta institusi media di Malaysia, akan mewujudkan kerjasama lebih erat antara Malaysia dengan organisasi media mereka.
Beliau berkata media telah menjadi rakan kongsi yang amat penting dalam memupuk persefahaman antarabangsa, membentuk wacana awam dan mempengaruhi persepsi sesebuah negara terhadap negara lain.
“Diplomasi media telah menjadi instrumen penting dalam pelaksanaan hal ehwal luar negara,” katanya.
Ahmad Faisal berkata media merupakan instrumen yang ampuh untuk menonjolkan kuasa lembut, membolehkan sesebuah negara mempamerkan budaya, nilai dan aspirasinya kepada khalayak global.
“Menerusi kandungan yang dihasilkan dengan baik, media boleh membantu meningkatkan imej dan pengaruh antarabangsa sesebuah negara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata landskap media sedang berubah pantas; kemajuan kecerdasan buatan, teknologi digital dan pengaruh media sosial yang semakin meningkat memberi kesan kepada pengendalian urusan kerajaan serta membawa peluang dan cabaran.
“Kita perlu belajar menguruskan interaksi masa nyata, komunikasi krisis dan naratif global sambil berdepan dengan kerumitan isu maklumat salah,” katanya, sambil menambah bahawa keadaan itu menjadikan laporan yang tepat dan seimbang lebih penting berbanding sebelum ini.
Ahmad Faisal berkata Program Pelawat Media Asing dirangka berlandaskan situasi ini bagi menjalin hubungan erat dengan pengamal media daripada pelbagai latar belakang, berkongsi amalan terbaik serta menghargai kepelbagaian perspektif dalam pelaporan profesional.
“Kami berharap usaha ini dapat memperkukuh hubungan antara rakyat serta menyokong usaha yang lebih luas ke arah keamanan, kestabilan dan kerjasama antarabangsa,” katanya. – Bernama



