ARTIKEL

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim | Bernama

Malaysia beralih ke model Bandar AI perkasa aspirasi Negara AI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berada pada fasa kritikal untuk beralih daripada konsep Bandar Pintar kepada pembangunan Bandar Kecerdasan Buatan (AI) sebagai teras kepada aspirasi menjadi sebuah Negara AI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu ditegaskan beliau semasa mempengerusikan mesyuarat khas bagi meneliti serta menyelaraskan pelaksanaan model Bandar AI untuk Malaysia di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata peralihan tersebut bukan sekadar penerapan teknologi baharu, sebaliknya menuntut transformasi menyeluruh dalam aspek perancangan, pentadbiran dan pengurusan bandar agar lebih cekap, berdaya tahan serta berpaksikan data.

“Usaha ini memerlukan ekosistem yang kukuh, merangkumi tadbir urus AI dan data yang selamat, infrastruktur digital berkapasiti tinggi, pembangunan bakat tempatan serta kerangka dasar dan perundangan yang menyokong inovasi secara bertanggungjawab.

“Mesyuarat turut bersetuju agar Kementerian Digital bertindak sebagai penyelaras utama dengan kerjasama rapat kementerian dan agensi berkaitan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau.

Anwar berkata kerajaan akan terus memperkukuh sinergi berkenaan bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan berimpak tinggi demi manfaat menyeluruh kepada rakyat.

Langkah itu juga katanya bertujuan memperkasa kedudukan Malaysia sebagai Negara AI yang berdaya saing di peringkat global.

Sebelum ini, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata Malaysia kini giat melaksanakan Pelan Tindakan AI Kebangsaan bagi mencapai aspirasi menjadi Negara AI menjelang 2030.

Beliau berkata tahun 2026 bakal menjadi detik penting dalam usaha mencapai aspirasi tersebut dengan tumpuan diberikan kepada pembangunan teknologi, bakat, tadbir urus, infrastruktur serta pelaburan mampan.

— BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU