KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk mengukuhkan status sebagai hab kewangan dan teknologi serantau sekiranya organisasi beralih daripada projek perintis kecerdasan buatan (AI) kepada pembangunan sistem yang dipercayai, disokong tadbir urus kukuh dan budaya kerja yang menggalakkan penggunaan teknologi itu.
Pengurus ASEAN Workday, Jess O’Reilly berkata Malaysia memiliki asas digital yang kukuh dan semakin banyak perusahaan bersedia memperluas penggunaan AI dalam pengurusan sumber manusia serta kewangan. Menurutnya, AI seharusnya dimanfaatkan bagi meningkatkan produktiviti dan membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada tugasan bernilai tinggi.
Beliau berkata pelaksanaan AI pada skala besar memerlukan data yang boleh dipercayai, mekanisme kawalan yang jelas serta tadbir urus yang mantap, terutama bagi fungsi kritikal seperti pembayaran gaji dan pengurusan kewangan. Katanya, manusia akan terus memainkan peranan utama dalam membuat keputusan dan memantau operasi AI.
O’Reilly turut menegaskan organisasi perlu membina budaya yang menggalakkan penggunaan AI serta memperkukuh latihan dan pemerkasaan tenaga kerja bagi menangani jurang kemahiran. Menurutnya, langkah itu penting untuk memastikan Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab kewangan dan teknologi serantau seperti dilapor Bernama.

