BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia dan Brunei Darussalam bersetuju menggunakan mekanisme ASEAN sebagai pendekatan menangani isu jerebu rentas sempadan yang turut menjejaskan Sarawak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dipersetujui bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah pada Rundingan Pemimpin Tahunan Kali Ke-27 (ALC-27) antara Malaysia dan Brunei Darussalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri ALC-27 antara Malaysia dan Brunei Darussalam di sini, hari ini.
Hadir sama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.

Sementara itu, pada Jumaat, Mohamad Hasan memaklumkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menghantar surat kepada pihak berkaitan serta Sekretariat ASEAN berhubung isu jerebu rentas sempadan.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian susulan keadaan kualiti udara tidak sihat di Sarawak yang menyaksikan 591 sekolah ditutup sementara pada 20 dan 21 Ogos lalu.
Keadaan itu sekali gus menunjukkan keperluan kerjasama serantau yang lebih berkesan bagi menangani isu jerebu rentas sempadan.


