ARTIKEL

Ajidin menerima cenderamata daripada Teyun pada majlis serah terima Pemindahan Antarabangsa Banduan Malaysia-Brunei Darussalam.

Malaysia, Brunei tandatangani perjanjian pemindahan banduan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Malaysia dan Brunei Darussalam terus memperkukuh hubungan diplomatik menerusi pelaksanaan pemindahan banduan antarabangsa pertama antara kedua-dua negara.

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Ajidin Salleh, berkata pemindahan ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh sistem keadilan jenayah serta memperluaskan kerjasama dalam pengurusan kepenjaraan dan pemulihan banduan.

“Pada pagi ini, seorang banduan warganegara Brunei yang ditahan di Penjara Miri, Sarawak, telah diserahkan kepada pihak berkuasa Brunei berdasarkan Perjanjian Pemindahan Banduan Antarabangsa antara Kerajaan Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

“Usaha ini membolehkan banduan menjalani baki hukuman di negara asalnya, sejajar dengan prinsip pemulihan yang lebih dekat dengan budaya dan sokongan sosial di tanah air mereka,” katanya.

Ajidin merakamkan gambar kenangan bersama pegawai penjara yang hadir.

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Pemindahan Antarabangsa Banduan Malaysia-Brunei Darussalam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh, di sini, hari ini.

Menurut Ajidin, pemindahan tersebut bukan sekadar proses logistik tetapi juga satu langkah penting dalam memastikan kejayaan program pemulihan banduan.

“Dengan menjalani hukuman di negara sendiri, banduan dapat menerima sokongan keluarga yang lebih efektif, sekaligus meningkatkan peluang mereka untuk kembali ke masyarakat sebagai individu yang lebih baik,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pelaksanaan pemindahan ini adalah hasil Triti Pemindahan Antarabangsa Banduan yang ditandatangani antara Malaysia dan Brunei Darussalam pada 3 Ogos 2023.

“Ia selaras dengan Akta Pemindahan Antarabangsa Banduan 2012 (Akta 754), yang membolehkan banduan asing yang layak dipindahkan ke negara asal mereka bagi meneruskan pemulihan dalam sistem keadilan negara sendiri,” tambahnya.

Selain Brunei, Malaysia juga telah menandatangani perjanjian pemindahan banduan antarabangsa dengan Ukraine dan Iran.

“Pemindahan pertama ini membuka ruang untuk kerjasama lebih erat dalam bidang kepenjaraan, rehabilitasi banduan serta program latihan dan pemulihan, yang boleh memberi impak positif kepada sistem keadilan jenayah kedua-dua negara.

“Tindakan ini melambangkan keprihatinan serta komitmen teguh Malaysia dan Brunei dalam memastikan keadilan serta kebajikan banduan terus diberi perhatian,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa langkah ini bukan sahaja membantu proses pemulihan individu dalam tahanan, malah meningkatkan peluang mereka untuk kembali ke masyarakat dengan lebih baik.

Justeru, beliau berharap kerjasama erat antara Malaysia dan Brunei Darussalam dalam aspek ini dapat diteruskan bagi memastikan keberkesanan sistem pemindahan banduan pada masa hadapan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU