KUCHING: Selama bertahun-tahun, Kedutaan China di Malaysia bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kebajikan, usaha amal serta menghulurkan bantuan kepada masyarakat tempatan yang memerlukan.
Menteri di Kedutaan China di Malaysia, Tang Rui berkata, ia kerana membantu mereka yang memerlukan adalah nilai teras serta amalan kebaikan tradisi kedua-dua budaya Islam dan Cina.
“Hari ini kami datang ke Kuching bersama Yayasan Ikram Malaysia (Ikram) dan menghulurkan beberapa barangan keperluan, mencuba sedaya upaya untuk membantu masyarakat Islam yang bakal menyambut bulan Ramadan.
“Usaha ini sejajar dengan semangat perpaduan dan persahabatan yang terjalin antara kedua-dua negara kita.
“Malah, kedutaan kami akan terus komited untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada semua rakan Malaysia yang memerlukan,” katanya pada Program Sumbangan Ramadan di Dewan Terbuka, Kampung Sri Maimunah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, program tersebut merupakan salah satu contoh nyata tentang persahabatan dan persaudaraan yang erat antara rakyat China dan Malaysia.
“Persahabatan kedua-dua negara ini bermula sejak beribu-ribu tahun dahulu dan telah diwarisi sejak beberapa generasi dan hubungan itu terjalin lebih erat dan kukuh sehingga kini.
“ Kedua-dua negara menikmati sikap saling mempercayai yang mendalam khususnya dari segi kerjasama ekonomi, politik dan perdagangan. Tahun ini juag menandakan ulang tahun ke-10 penubuhan perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu katanya, menyambut Ramadan di Malaysia mengingatkannya kepada umat Islam di China seperti Uygur dan Hui kerana mereka bersama-sama menyucikan minda dan jasad sepanjang bulan tersebut.
“Ramadan adalah bulan yang paling penting dan penuh keberkatan bagi umat Islam. Sepanjang Ramadan, sahabat Muslim berpuasa dan menunaikan solat untuk menyucikan jasad dan minda.
“Amalan ini membolehkan kita memahami nilai-nilai Islam iaitu muhasabah diri, belas ihsan, ihsan dan pemurah, serta semangat Islamik, toleransi, keharmonian dan kebersamaan,” katanya lagi.



